Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul, 28, menerima Ijazah Sarjana Muda Muzik Kontemporari pada majlis konvokesyen yang berlangsung di Universiti UCSI, di sini, hari ini.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani memanjatkan kesyukuran apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang diminatinya.

"Alhamdulillah, akhirnya saya kini memiliki ijazah dalam bidang muzik. Lega rasanya apabila dapat menamatkan pengajian yang mengambil masa lima tahun.

"Pencapaian ini amat penting untuk diri saya secara peribadi kerana akademik juga adalah keutamaan saya. Tentunya membanggakan apabila memiliki pencapaian begini di samping kejayaan karier seni," katanya.

Penyanyi lagu Sumpah ini juga menyifatkan pencapaian itu sekali gus menjadi motivasi untuknya terus berjaya dalam hidup.

Bagaimanapun, dia tetap mahu memfokuskan kepada bidang seni buat masa ini.

"Kerjaya muzik yang semakin berkembang sekarang tetap menjadi keutamaan saya. Jadi fokus saya tetap terus menjadi penghibur disegani serta menghasilkan banyak lagu terbaik.

"Apapun, saya cuma ingin nyatakan bahawa akademik juga perlu seiring dengan kerjaya saya. Saya amat menitikberatkan pendidikan berkaitan muzik di samping tunjukkan kecemerlangan sebagai penyanyi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 3:25 PM