AISHA timba banyak ilmu daripada Vokal Mania.
AISHA timba banyak ilmu daripada Vokal Mania.
MAHU buktikan dia bukan juara semusim.
MAHU buktikan dia bukan juara semusim.
GELARAN juara bukan alasan untuk bermegah.
GELARAN juara bukan alasan untuk bermegah.
Georgie Joseph


DINOBATKAN juara program Vokal Mania untuk kategori Rookie baru-baru ini menjadi kenangan indah buat Aisha Retno.

Sebagai pendatang baharu, pencapaian itu cukup manis mengisi profilnya sebagai anak seni yang mengimpikan tapak kukuh dalam industri muzik.

Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 20, mengakui kejayaan terbabit adalah langkah awal buatnya. Sekarang, tanggungjawab lebih besar perlu digalas untuk membuktikan kemenangan itu berbaloi.

Baginya, gelaran juara bukan tiket untuk bermegah, sebaliknya dia tahu gelaran itu hanya sia-sia sekiranya tidak berusaha membuktikan diri menerusi bakat seninya. Ia termasuk kualiti diri serta kerja keras konsisten.

"Alhamdulillah, kemenangan itu sebuah pembukaan indah karier seni saya untuk tahun 2021. Jujur, saya masih janggal dengan gelaran terbabit namun cukup bersyukur bakat nyanyian diiktiraf dalam program itu.

"Namun, saya melihat pencapaian itu lebih kepada satu tanggungjawab besar sekarang. Tugas saya tidak lain adalah untuk membuktikan diri boleh pergi lebih jauh dalam industri muzik tempatan.

"Saya tidak mahu kemenangan itu sia-sia memandangkan gelaran juara bukan jaminan saya akan popular sebagai penyanyi. Oleh itu, saya mahu pastikan nama lebih kukuh, bersinar, serta konsisten untuk menyemarakkan lagi kerjaya dalam dunia seni," katanya.

Memulakan karier seni sejak 2019 menerusi single pertama berjudul Mengikat Jiwa, Aisha kini menanam azam serius melakar jauh namanya. Dia tidak mahu kehadirannya sekadar dipandang sepi dan dilupakan.

Disebabkan itu, dia mahu memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang ditimba dalam program Vokal Mania untuk bekalan penting. Baginya, terlalu banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang bertanding dalam program itu.

Paling membuka mata semestinya kehadiran ramai penyanyi berbakat besar yang memiliki vokal hebat dalam industri muzik. Itupun baharu beberapa nama yang dia berkesempatan untuk kenal menerusi program itu.

"Peluang dapat bertanding dalam Vokal Mania memberi seribu pembelajaran buat saya. Maklumlah, selama ini pun saya tidak pernah bertanding di pentas segah itu sepanjang saya mula menyanyi.

"Apa yang pasti, ia bukan proses yang mudah. Setiap aktiviti berlaku dengan pantas, daripada penetapan lagu, menghafal lagu, kelas vokal, penggambaran video kapsul hinggalah ke persembahan mingguan. Ia memang mencabar.

"Yang paling membuka mata saya betapa penyanyi lain bertanding cukup hebat dan dahagakan kejayaan besar dalam industri ini. Saya sangat kagum dengan semangat mereka sehingga saya pun kena semarakkan api semangat dalam diri," katanya.

Mahu terus belajar dan perbaiki diri

Menjadi antara penyanyi muda yang dikagumi vokalnya, Aisha mengakui masih terlalu banyak perkara harus dipelajarinya dalam muzik. Dia sedar, bidang nyanyian terlalu subjektif untuk dikuasai dan bukan bergantung vokal semata-mata.

Perkara itu disedarinya selepas merasai sendiri proses mempelajari teknik vokal secara profesional dalam Vokal Mania. Teknik nyanyian yang digunakan sebelum ini masih banyak perlu diperbaiki.

"Itu kali pertama saya mendapat bimbingan vokal yang terperinci dan profesional. Maklumlah, selama ini saya memang belajar menyanyi sendiri sahaja selain mendapat bimbingan daripada ibu.

"Namun, rupa-rupanya banyak hal teknikal yang masih mencacatkan nyanyian saya. Contohnya, bahagian alunan suara berlebihan, guru vokal yang mengajar kami menyuruh saya untuk mengurangkannya.

"Saya pelajari menyanyi ini tidak boleh 'syok sendiri' dan yakin suara kita sudah terlalu bagus. Banyak kaedah penting perlu diperbaiki terutama apabila menyanyi untuk pertandingan dan buat halwa telinga pendengar umum," katanya.

Walaupun perjalanannya dikira baharu bermula, Aisha mengidam namanya akan bersinar di acara pengiktirafan muzik terbesar termasuk di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah MeleTOP.

"Memang terlalu awal nak berangan, tapi itulah impian saya untuk sekurang-kurangnya perjuangan seni saya diiktiraf. Penghargaan daripada acara anugerah adalah penentu betapa kerjaya seni kita memberi impak atau tidak.

"Apapun, saya tidaklah terlalu obses untuk mengejar anugerah semata-mata. Biarlah pencapaian itu datang seiring dengan apa yang saya sudah sumbangkan dalam industri hiburan," katanya.

Tetap fokus pengajian di Universiti Malaya

Penuntut jurusan ekonomi di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, ini juga tidak mahu menyisihkan pengajiannya walaupun kerjaya seni sebagai penyanyi makin mekar.

Baginya, akademik tetap menjadi keutamaan dan dia berjanji akan menghabiskan pengajian yang berbaki tiga tahun.

Disebabkan itulah, Aisha memfokuskan kembali kepada kuliahnya sebaik tamat program Vokal Mania.

Menurutnya, dia bersyukur kini dia boleh berehat seketika demi memberikan tumpuan kepada peperiksaan akhir semesternya.

"Agak sukar juga saya seimbangkan masa sewaktu pertandingan dan kuliah berjalan pada masa sama. Namun, saya tidak abaikan terus pengajian dan mencuri sebaiknya masa yang ada untuk mengikuti setiap kuliah.

"Mujur masa kini sudah lengang sedikit dan saya memutuskan untuk berehat dalam tempoh sebulan. Ini kerana saya akan menjalani peperiksaan akhir dalam tempoh terdekat dan betul-betul mahu fokus kepadanya.

"Apapun, sebagai penyanyi saya harap dapat membanggakan diri dalam bidang akademik juga. Bagi saya, kedua-dua bidang ini sama penting dan perlu seiring. Justeru, saya janji sebaik mungkin akan habiskan pengajian," katanya.

Dalam pada itu, Aisha juga tidak sabar menantikan pelancaran lagu baharunya berjudul Cinta Denganmu pada pertengahan bulan ini. Lagu ciptaan Farouk Roman dan Amylea Azizan itu adalah lagu solo keduanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 6:10 AM