KAKA mahu nyanyi lagu Melayu di hadapan iklan gergasi Times Square, New York.
KAKA mahu nyanyi lagu Melayu di hadapan iklan gergasi Times Square, New York.
Georgie Joseph


SETIAP artis mempunyai impian dan misi tersendiri dalam bidang seni tidak terkecuali buat penyanyi Kaka Azraff, 33.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff meletakkan harapan tinggi setiap lagu yang disampaikan diterima peminat muzik seterusnya diangkat bertanding ke peringkat saingan berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik.

Seiring lagu nyanyiannya Kaka yang baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Hilang bulan lalu, turut bercita-cita besar menyanyikan lagu Melayu di hadapan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS).

Lebih menyuntik semangat ibu kepada dua cahaya mata yang berasal dari Klang, Selangor ini apabila wajahnya menghiasi papan iklan gergasi terbabit sempena kempen EQUAL oleh Spotify.

Kaka mengakui tidak pernah berhenti berangan dapat membuat persembahan di AS suatu hari nanti. Cita-cita besarnya adalah menyanyikan lagu Melayu di hadapan lokasi ikonik itu.

"Berangan itu percuma dan tidak salah. Siapa tahu, suatu hari nanti berpeluang beraksi di sana. Kalau artis dari Asia lain pun sudah merealisasikannya, pasti kita boleh juga.

"Saya bayangkan saya akan nyanyikan lagu sendiri dalam bahasa Melayu. Pastinya satu kebanggaan dapat berkongsi bahasa kita di depan khalayak di sana," kata Kaka yang kembali aktif semula dalam kerjaya seni, namun pada masa sama pentingkan keseimbangan antara kerja dan masa peribadi bersama keluarga.

"Sekarang pasukan saya Warner Music Malaysia rancak promosikan Hilang. Sambutannya agak perlahan sedikit berbanding lagu terdahulu, tapi harapnya mampu ke pentas berprestij seperti AJL.

"Saya berazam terus rancakkan karier muzik sambil meluangkan masa sebaiknya bersama dua anak lelaki saya. Alhamdulillah, sesibuk mana pun sekarang, masa saya bersama mereka masih cukup," katanya.

Selain Kaka, wajah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Aina Abdul, Dolla, Aisha Retno dan Vanessa Reynauld juga pernah terpampang di papan iklan gergasi terbabit.

Menurut Kaka, impian itu diidamkannya sejak melihat rakan seperjuangan seperti Yuna dan Dolla turut menghiasi papan iklan ikonik terbabit sebelum ini.

"Rasa macam tak percaya sangat. Bila melihat pencapaian itu, ia membakar lagi semangat saya untuk memberikan lebih usaha dalam kerjaya seni.

"Saya juga pernah cakap dengan suami, perihal begini yang sebenarnya membuatkan saya enggan mengalah. Saya bukan nak banggakan diri semata-mata, tapi banggakan satu Malaysia," katanya.

Perjalanan seni Kaka bermula ketika dirinya masih muda dengan mempelajari selok-belok industri muzik sejak kecil. Debut pertamanya bersama pelawak, hos TV dan penyanyi popular, Zizan Razak sudah melonjakkan namanya. Single keduanya berjudul 'Bukan Hal Aku' meraih jumlah tontonan sebanyak 10 juta sejak dilancarkan.

Selain itu, Kaka juga terjun dalam bidang lakonan kerana bakat semula jadi yang dimilikinya. Mana

kala pencapaian tertingginya dalam bidang muzik adalah dinobatkan sebagai juara AJL ke-35 menerusi lagu Gila bersama rapper Noki dan Loca B.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 6:44 AM