LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


“NIAT saya ikhlas mahu membantu mana yang termampu kerana kisah Haslizah Ibrahim yang memerlukan kereta untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan menyentuh hati saya,” kata ahli perniagaan di Manjung yang hanya mahu dikenali sebagai Hazwan, 30.

Hazwan bermurah hati untuk menyumbangkan Proton Iswara terpakai untuk Haslizah membawa anak istimewanya, Nour Rabiatul Adawiyyah Iman Mohamad Fauzi, 9, yang mengalami masalah saraf, ketumbuhan otak dan sawan dari kediaman mereka di Gunung Semanggol, Bagan Serai ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, hatinya tersentuh apabila membaca kisah keperitan Haslizah yang terpaksa membawa anaknya ke hospital dengan motosikal dan memerlukan kereta.

“Saya mudah tersentuh hati lebih-lebih lagi melihat kisah seperti ini kerana sejak dari kecil saya sudah melihat ayah membantu orang lain dalam kesusahan.

“Apabila membaca kisah mereka, saya ambil keputusan untuk membantu serta mencari kereta terpakai untuk disumbangkan.

“Saya memilih Proton Iswara untuk keluarga itu yang turut mempunyai dua anak lain,” katanya ketika dihubungi di Manjung, hari ini.

Katanya, dia membeli kereta berkenaan daripada seorang lelaki dari Kedah yang turut memerlukan wang untuk perubatan ibunya yang mempunyai penyakit kanser.

“Saya bercadang ke rumah keluarga Haslizah pada Sabtu ini dan pemilik kereta juga akan datang pada hari sama untuk menyerahkan Proton Iswara berkenaan.

“Saya bayar separuh dahulu dan selepas urusan pertukaran nama kepada ibu atau bapa kanak-kanak itu selesai, baki selebihnya akan dibayar,” katanya.

Hazwan yang berasal dari Terengganu itu turut berharap sumbangannya itu dapat meringankan beban dan memberikan keselesaan kepada keluarga berkenaan terutama anak pasangan itu yang sakit.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Haslizah yang tidak mampu untuk membeli kereta, selama ini hanya bergantung kepada motosikal yang ditunggang suaminya untuk membawa Nour Rabiatul Adawiyyah Iman ke Hospital Taiping bagi rawatan susulan.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu perlu ke hospital dua ke tiga kali sebulan dan mereka terpaksa menunggang motosikal lebih 20 kilometer dari rumah di Taman Lembah Beriah, Gunung Semanggol, Bagan Serai.

Berita berkaitan

Kalaulah mampu...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 1:10 PM