Erma Fatima (kiri) dan Dira Abu Zahar (kanan).
Erma Fatima (kiri) dan Dira Abu Zahar (kanan).
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pelakon dan penerbit popular, Erma Fatima bangga dengan pencapaian pelakon, Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar yang menjadi artis pertama bergelar wakil rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Sabtu lalu.

Erma berkata, penyertaan artis menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mampu menjadi landskap baharu senario politik negara sekali gus menobatkan golongan selebriti mewakili rakyat yang prihatin kepada nasib rakyat.

Erma berkata, walaupun bangga dengan kejayaan Dira, namun dalam masa sama dia enggan mengikut jejak Dira untuk menjadi wakil rakyat buat masa ini.

Menurut Erma, dia pernah menyertai Puteri Umno dan mengakui gembira melakukan aktiviti bersama rakyat namun belum masanya untuk dia bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

"Sebagai seorang artis, saya bangga dengan kejayaan Dira kerana di India dan Indonesia, ramai artis sudah menjadi Ahli Parlimen dan Wakil Rakyat, kenapa tidak di Malaysia?

"Alhamdulillah artis ada pengaruhnya. Bagaimanapun apa yang saya impikan ada seorang senator yang boleh dilantik masuk di Parlimen untuk memberi atau menyampaikan suara daripada golongan seni.

"Itu yang kita perlukan, jadi penyakit dan penderitaan orang seni dapat dikongsi dalam parlimen. Dulu kita ada Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin sebagai senator, selepas itu kita tidak ada senator untuk mewakili golongan seni. Apapun ,saya percaya ada calon dalam kalangan kami layak kerana banyak isu dan hak orang seni yang boleh dipertahankan di parlimen kelak," katanya.

Erma berkata, jika dilihat bagaimana Allayharham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia sehelai sepinggang itulah sebenarnya nasib orang seni ketika ini.

Dira yang juga anak bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin memenangi kerusi DUN Rim dengan majoriti 1,874 undi.

Dira mencipta sejarah tersendiri mewakili golongan artis dilihat satu fenomena baharu dalam kalangan artis untuk berbakti kepada rakyat, justeru tidak mustahil lebih ramai yang bakal mencuba termasuk menjadi ahli parlimen pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 4:41 PM