AFIEQ Shazwan
AFIEQ Shazwan
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Afieq Shazwan, 24, tidak melatah dan berkecil hati apabila dia didakwa segelintir netizen di media sosial tidak sesuai menjadi hero drama kerana wajah yang kurang komersial.

Afieq yang kini tampil melakonkan watak Hairi dalam drama Diari Seorang Suami di TV3 berkata komersial yang cuba dimaksudkan netizen itu sebenarnya macam mana sebab dia perlu tahu untuk meneliti mana yang kurang pada dirinya.

"Tapi, tak mengapalah juga kerana bagi saya aspek komersial yang diperkatakan ini adalah bergantung kepada selera masing-masing sebagai penonton. Namun, selaku pelakon yang 'kosong' pengetahuan dalam perkahwinan, saya gembira dapat memahami banyak perkara mengenai perkahwinan.

"Namun, sejujurnya saya juga terlebih dulu bertanya banyak kali kepada penerbit, betulkah nak berikan saya watak utama itu. Ia disebabkan saya bukan pelakon yang terima saja tawaran bulat-bulat asalkan dapat jadi hero," katanya kepada Harian Metro.

Afieq atau nana sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros berkata dalam kerjaya seni lakon ini, dia selalunya akan sedia ambil sesuatu watak itu apabila yakin boleh melakonkannya dengan baik. 

"Ingin dijelaskan, saya bukanlah seorang pelakon yang berani sangat untuk menggalas cabaran, apalagi watak Hairi ini sangat berat. Akibat terlalu ikut perasaan cinta, sanggup bawa lari anak gadis orang dan kahwin muda tanpa restu keluarga, ia memang sangat berat.

"Sehingga saya pernah bertanya pada diri sendiri, mampukah menggalas tanggungjawab hidup seperti Hairi itu di dunia realiti. Jawapannya, saya minta dijauhkan Allah SWT daripada kehidupan sebegitu kerana penting kita berfikir semasak-masaknya sebelum bertindak," katanya lagi.

Afieq berkata gara-gara watak Hairi itu juga dia harus membiasakan diri menerima pelbagai kecaman dan kritikan pedaa daripada penonton. Katanya, dia pernah dimarahi seorang wanita kerana sangat geram dengan Hairi.

Apapun, Afieq berkata drama Diari Seorang Suami itu sangat memberi gambaran kepada golongan muda untuk berfikir panjang sebelum menbuat keputusan ingin mendirikan rumah tangga kerana dalam kehidupan realiti cinta saja tidak cukup.

"Drama ini sangat mengingatkan saya ketika usia remaja dulu kerana teringin juga nak kahwin awal kerana mengikut desakan darah muda. Tetapi, mujur juga saya tak dapat lakukannya kerana cinta saya selalu ditolak," ujarnya.

Dalam drama ditayangkan di slot Lestary, jam 9 malam dari Rabu hingga Sabtu itu menggandingkan Afieq dengan pelakon Yuna Rahim dan Keith Foo sebagai watak utama  kerana banyak konflik berlaku.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 2:53 PM