AFIEQ akui selesa berkawan rapat dengan wanita. FOTO Arkib NSTP
AFIEQ akui selesa berkawan rapat dengan wanita. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi Afieq Shazwan mendedahkan dia tetap berpegang pada nasihat bapanya supaya berhati-hati dalam pergaulan.

Afieq, 22, berkata dia selalu diingatkan oleh bapanya supaya bijak menjaga batas pergaulan dengan setiap gadis yang rapat dengan dirinya.

“Ibu bapa tidak pernah menghalang dengan siapa saya bersahabat baik terutama dalam kalangan gadis. Cuma, harus berhati-hati.

“Mereka sangat memahami bahawa kebanyakan rakan rapat adalah gadis kerana sikap saya yang begitu mengambil berat,” katanya.

Menurut Afieq atau nama sebenar Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, dia sendiri pun sangat selesa berkawan rapat dengan wanita.

Ditanya tidakkah dia bimbang sekiranya dilabel ‘kaki perempuan’, Afieq berkata memang lumrah seorang lelaki sebagai ‘pencinta wanita’.

“Saya memang suka berkawan dengan wanita dan hingga kini batas pergaulan sangat dijaga mengikut pesan ayah.

“Terus-terang, saya belum pernah keluar berdua dengan rakan wanita dikenali dan selalunya kami jumpa beramai-ramai.

“Ia berikutan, saya tidak mahu timbulnya fitnah dan harus menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Apatah lagi, saya seorang selebriti,” katanya.

Afieq yang kini muncul dengan single kedua berjudul Darjat, memberitahu dia juga tidak mahu merosakkan kepercayaan ibu bapanya.

Mengulas hubungan rapatnya dengan penyanyi Wani Kayrie, pelakon drama Elly & Epit itu mengakui sangat menyenangi keperibadian Wani.

“Memang dalam kalangan rakan sesama artis, saya kini berkawan rapat dengan Wani kerana selesa dengan sikap matangnya.

“Wani suka bertanya dan berkongsi pendapat untuk karier nyanyian. Malah, kami juga suka membuat ‘cover’ lagu bersama,” katanya.

Masih terlalu awal untuk bercinta, Afieq berkata pada masa sekarang dia lebih selesa menjalin hubungan persahabatan saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 6:39 PM