Babak Afieq Shazwan dalam drama Rampas Cintaku. FOTO iQIYI
Babak Afieq Shazwan dalam drama Rampas Cintaku. FOTO iQIYI
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan berharap watak 'anak ikan' atau 'sugar baby' dalam drama bersiri, Rampas Cintaku yang akan ditayangkan secara global di 191 negara menerusi platform penstriman, iQIYI akan diterima baik penonton.

Afieq berkata, watak itu adalah kali pertama dijayakan dan mempelajari banyak perkara mengenai dunia terbabit yang masih wujud dalam kehidupan seharian.

"Saya cuba menyahut cabaran ini dan berharap tiada pihak akan mengecam kalau ada babak yang tidak menjadi. Saya pun belajar melalui pengalaman orang-orang yang ada di luar sana kerana saya suka bertanya.

"Jadi, saya cuba selami kehidupan itu dalam diri saya seandainya itu adalah dunia saya sekarang. Saya akui sepanjang menjalani penggambaran saya belajar banyak perkara," katanya.

Rampas Cintaku yang akan menemui penonton bermula 23 September ini memaparkan realiti kehidupan sesetengah perkahwinan dan percintaan.

Drama siri original tempatan iQIYI itu adalah drama Melayu yang jarang memaparkan topik 'taboo' seperti hubungan 'sugar baby-sugar mama' atau 'anak ikan', sambil menonjolkan realiti yang kurang dibincangkan secara umum seperti pemerkasaan wanita dan pengorbanan generasi muda yang kurang bernasib baik terhadap orang tersayang.

Menurut Afieq, bekerja di samping pelakon terkenal, Fasha Sandha turut memudahkan dia menjayakan watak Rizal.

"Bekerja dengan Fasha adalah pengalaman paling hebat walaupun sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan pelakon-pelakon lain.

"Kami banyak babak bersama dan saya seronok sepanjang bekerja dengan Fasha yang sudah dianggap seperti kakak. Malah suaminya, Aidil Aziz turut membintangi drama ini.

"Tahap rapat saya dengan Fasha sampai kami saling berhubung setiap kali nak pergi kerja. Dia adalah pelakon yang mudah untuk bekerja dan kami cepat cipta keserasian di set penggambaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 4:44 PM