AFIEQ Shazwan sudah selesai terima dua dos vaksin lengkap.
AFIEQ Shazwan sudah selesai terima dua dos vaksin lengkap.
Norhayati Nordin


Rentetan kisah duka yang berlaku ke atas Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang tewas akibat Covid-19, Isnin lalu, membuka mata banyak orang untuk lebih berhati-pada dan waspada terhadap jangkitan pandemik itu.

Penyanyi, pelakon dan pengacara Afieq Shazwan, 24, mengakui dia mengambil iktibar untuk dirinya agar lebih peka dengan keadaan sekeliling dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan

"Apa yang abang Shuib cakap berkaitan Covid-19 dalam sesi Instagram pada petang Isnin lalu banyak betulnya dan kita semua perlu ambil perhatian itu.

"Saya tonton siaran langsung berkenaan sampai habis dan memang benar apa yang diperkatakan iaitu kita semua tidak boleh berundur ke belakang selepas positif Covid-19," katanya.

Menurut Afieq, sebelum kita menjadi mangsa seterusnya, maka patuhlah pada setiap arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama berkaitan SOP untuk mencegah penularan.

"Kalau tak ada urusan penting, jangan keluar rumah dan duduklah diam-diam dengan menghabiskan masa bersama keluarga. Dalam keadaan sukar sekarang, kita tidak boleh terus berdegil.

"Elak untuk mencegah kerana pandemik ini sangat berbahaya. Saya pun ada beberapa rakan yang bertugas sebagai 'frontliner' dan mereka memang menyarankan untuk pengambilan vaksin," katanya.

Afieq yang sudah lengkap menerima suntikan kedua vaksin AstraZeneca berkata, dia melihat ke arah positif yang mana ia sebagai usaha pencegahan awal walaupun risiko untuk dijangkiti tetap ada.

KISAH arwah Siti Sarah buka mata Afieq Shazwan untuk lebih waspada.
KISAH arwah Siti Sarah buka mata Afieq Shazwan untuk lebih waspada.

"Saya menyeru kepada orang ramai terutama golongan muda untuk ambil vaksin. Malah, saya juga gembira sebaik mendapat tahu remaja berusia 18 tahun tahun ke bawah sudah boleh mendaftar untuk vaksin.

"Semoga ibu bapa yang mempunyai anak remaja ini bantu daftarkan mereka. Sokongan ibu bapa penting dalam menggerakkan anak-anak untuk bersama-sama mendapatkan vaksin Covid-19 untuk keselamatan," katanya.

Menurut penyanyi lagu Lelaki Di Telefon ini, jangan sesekali ibu bapa bersikap meracuni pemikiran anak-anak dengan mendakwa ada cip khas dimasukkan ke dalam vaksin dan tidak selamat.

"Saya katakan begini kerana pernah menerima mesej di Instagram daripada seorang peminat yang memaklumkan dia tidak boleh mengambil vaksin kerana tidak dibenarkan oleh ibu bapanya.

"Terkejut juga saya dengan mesej itu kerana tak sangka ada ibu bapa yang enggan divaksin. Paling saya risau, mereka (ibu bapa) juga tidak membenarkan anak-anak mengambil suntikan vaksin itu," katanya.

Afieq yang juga salah seorang pengacara Didik TV berkata pengambilan vaksin ialah usaha pencegahan dan sepatutnya mendapat sokongan. Malah, golongan ibu bapa seharusnya menggalakkan anak-anak untuk mendaftar vaksin.

Berbicara tugasnya sebagai hos untuk program pendidikan, Afieq berkata, dia amat berbesar hati menggalas tanggungjawab itu.

Katanya, ia turut membawa dia mengimbau kenangan zaman sekolah.

TERUJA, Afieq bakal bintangi drama Diari Seorang Lelaki.
TERUJA, Afieq bakal bintangi drama Diari Seorang Lelaki.

Berlakon watak utama dalam Diari Seorang Suami

Tampil dengan single Gerak Lu... pada hujung Disember tahun lalu, Afieq atau nama sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros berkata, buat masa sekarang dia perlu merancang semula kerjaya nyanyiannya.

Menurut Afieq, dia sepatutnya ada single baharu tetapi disebabkan pandemik Covid-19 ini banyak urusan kerja tergendala.

Katanya, dia kini menunggu masa untuk kembali ke set penggambaran drama.

"Saya ada satu projek drama untuk tayangan di TV3, namun penggambarannya masih belum dibuat. Alhamdulillah, saya akan berlakon watak utama dalam drama Diari Seorang Suami arahan Johan Bakar.

"Drama 13 episod ini memberi peluang saya melakonkan watak lelaki yang berkahwin buat kali pertama. Ia menjadi pengalaman baharu saya untuk watak sebagai suami orang.

"Tak tahulah macam mana nanti. Tapi, selain watak saya berminat dengan drama ini kerana jalan ceritanya. Ia mengisahkan pasangan berkahwin pada usia muda dan berhadapan konflik," katanya.

Menerusi drama itu, Afieq akan berlakon di samping pelakon seperti Yuna Rahim, Keith Foo, Sherie Merlis dan ramai lagi.

Katanya, dia akan cuba memberi yang terbaik untuk wataknya.

Afieq yang mula aktif dalam kerjaya seni sejak kanak-kanak, cukup popular dengan drama Elly dan Epit bersama Sweet Qismina. Dia juga menang tempat ketiga di Big Stage musim pertama pada 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:20 AM