JU Ji-hoon akui tingkatkan stamina demi Jirisan.
JU Ji-hoon akui tingkatkan stamina demi Jirisan.
Georgie Joseph


MEMULAKAN tayangan pada 23 Oktober lalu, drama original taruhan platform penstriman iQiyi berjudul Jirisan terus mendapat perhatian hebat. Berkisar renjer hutan, drama arahan Lee Eung-bok itu cukup menarik.

Menampilkan pelakon Ju Ji-hoon sebagai bintang utama, semestinya menjadi tarikan utama juga. Pelakon yang popular menerusi drama Kingdom itu dilihat paling tepat menjayakan watak sebagai Kang Hyun-jo.

Tubuh sasa dan perwatakan gagahnya jelas sempurna menjadi renjer hutan. Apa tidak, pekerjaan itu sendiri memerlukan kekuatan fizikal dan stamina jika bertugas di alam realiti.

Berkongsi pengalaman menjayakan drama yang dibuat di pergunungan Jirisan itu, Ju Ji-hoon tidak menyangka cabarannya lebih besar terutama bab fizikal.

Meskipun dia sendiri suka mendaki sebagai hobi, tetapi persiapan untuk drama itu menguji kemampuan fizikalnya.

"Saya terpaksa bersenam lebih kerap untuk tingkatkan kekuatan fizikal. Sangat sukar buat penggambaran di gunung kerana permukaannya yang tidak lurus. Berdiri saja pun sudah memenatkan.

"Banyak babak seperti memanjat gunung, mendaki dalam keadaan hujan dan terjatuh perlu dilakukan. Semua itu hanya boleh dilakukan dengan baik sekiranya kita memiliki kekuatan fizikal.

"Disebabkan itu, saya berusaha meningkatkan stamina dengan berbasikal di sekitar Jirisan. Saya juga banyak berjalan mengelilingi pergunungan itu," katanya.

Ju Ji-hoon paling bersyukur apabila dapat menyelami sendiri cabaran sebagai renjer. Menurutnya, dia kagum apabila penulis skrip Jirisan iaitu Kim Eun-hee membuat kajian terperinci sebelum penggambaran dilaksanakan.

Berdasarkan kajian itu juga berjaya menyentuh hati pelakon berkenaan. Menurutnya, banyak lagi tugasan lain dilakukan renjer hutan yang tidak diketahui orang ramai.

"Kim Eun-hee membuat terlalu banyak kajian mengenai renjer untuk skripnya dan memberitahu saya pelbagai perkara. Skrip itu menggambarkan tugasan mereka, tapi saya sendiri berpeluang memerhati tugasan mereka secara tidak langsung di set penggambaran.

"Setiap renjer akan diberi tugasan berbeza. Ia termasuk menjaga keselamatan pendaki, mencari dan menyelamat, mengenal pasti, memerhati, merakam hidupan dan tumbuhan liar, memeriksa serta menyelenggara fasiliti," katanya.

Ju Ji-hoon turut teruja apabila dapat menjayakan drama itu bersama pelakon hebat lain. Mereka termasuk Gianna Jun yang menurutnya antara pelakon idolanya sejak remaja.

"Saya meminati Gianna Jun sejak saya muda. Dan saya masih ingat apabila kali pertama bertemu dengannya di set penggambaran Jirisan.

"Perasaan sangat luar biasa apabila akhirnya dapat pengalaman bekerja dengannya. Apalagi saya sendiri sukakan dia sejak sebelum saya mula menceburi lakonan," katanya.

Selain Ju Ji-hoon dan Gianna, Jirisan turut dibintangi Sung Dong-il, Oh Jung-se, Cho Han-cheul, Joo Min-kyung, Go Min-si, Jun Suk-ho dan Lee Ga-sub. Selain renjer, pembantu taman negara, watak polis dan lain-lain turut difokuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 6:45 AM