Shuk Sahar
Shuk Sahar
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pengacara Shuk Sahar, 35, memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung selepas menonton rakaman program bual bicara Rumah No 107 yang turut menampilkannya sebagai pengacara berkenaan perkongsian cerita babak rogol pelakon Fauzi Nawawi terhadap Raja Farah dalam filem Anak Halal menerusi program itu, baru-baru ini.

Shuk atau nama sebenarnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar berjanji akan lebih berhati-hati dalam setiap percakapan di masa akan datang.

"Bagi pihak saya sendiri, dengan rasa rendah hati saya ingin mohon maaf kepada semua pihak yang terguris hati selepas menonton program itu. Saya tiada niat apa-apa pun.

"Insya-Allah selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam setiap kandungan program dan percakapan. Saya harap semua orang boleh mendoakan agar semua perkara akan menjadi lebih baik," katanya.

Perkongsian Fauzi mengenai pengalamannya menjayakan watak perogol yang merogol Raja Farah dalam filem Anak Halal pada 2007 lalu dikecam pelbagai pihak termasuk Raja Farah dan suaminya.

Bagaimanapun, Fauzi dan seorang lagi pengacara, Khir Rahman sudah membuat permohonan maaf semalam.

Selain Fauzi, Shuk turut dikecam kerana netizen mendakwa dia menjadi punca pelakon itu tampil berkongsi babak rogol yang dilakonkannya selepas dia bertanya kepada Fauzi mengenai watak berkenaan.

Shuk berkata, dia tidak berniat untuk melarikan diri dari mengulas mengenai isu itu.

Dia juga memilih untuk mengunci mulut sebelum ini kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia panas.

"Sejujurnya saya bukan hendak melarikan diri, tetapi isu ini membabitkan banyak pihak dan bukan saya seorang saja. Oleh itu, sebolehnya saya tidak mahu mengulas lebih lanjut.

"Saya risau jika tersalah cakap, ia akan memberi impak negatif kepada pihak lain. Saya bukan melarikan diri, sebaliknya risau tersalah cakap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:54 PM