SHUK SAHAR
SHUK SAHAR
Georgie Joseph


 

PELAWAK dan penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar mengakui namanya agak ketinggalan dari segi populariti berbanding rakan pelawak lain sejak memutuskan bekerja di stesen berkenaan sejak 2017 lalu.

Shuk atau nama sebenarnya  Mohammad Shukri Mohammed Sahar  34, berkata, dia sengaja mengambil pendekatan itu disebabkan mahu menumpukan kepada kerjaya tetap itu selain mencari rezeki yang menjamin masa depan keluarganya.

"Dulu memang kalau kita fikir balik, populariti itu datang dengan kerjaya dan duit. Tapi apabila saya dapat bekerja di Hot FM sebagai penyampai, saya sudah terfikir ke arah lebih kepada mencari sumber pendapatan daripada populariti.

"Saya pun sudah berkeluarga dan ada dua anak, asal saja saya mampu beri mereka makan dan ada rezeki untuk sara hidup, populariti itu saya letak belakang. Sebab zaman sekarang ini, kalau kita tengok semula, pekerjaan itu sangat susah nak dapat.

"Kalau kita tengok orang yang menang banyak pertandingan dan berlakon, apabila terjadinya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada penggambaran, duduk rumah, baru kita fikir balik jika tiba-tiba tiada kerja," katanya kepada Harian Metro.

Pengacara program I Can See Your Voice Malaysia itu bagaimanapun tidak menafikan rindu untuk kembali menyertai pertandingan besar seperti Maharaja Lawak Mega (MLM). 

Malah, Shuk turut tumpang gembira melihat kejayaan besar ramai rakan lain.

"Apabila saya tengok rakan-rakan lain bertanding, kerinduan itu masih ada untuk bersama mereka. Misalnya Man, sekian lama tunggu, tiba-tiba dia masuk balik dan menang juara MLM yang bukan satu gelaran kecil.

"Kepada rakan-rakan yang masuk bertanding dan menang, saya suka tengok kejayaan mereka. Mungkin juga, suatu hari nanti kalau saya sudah ada sedikit masa untuk masuk kembali bertanding MLM, saya teringin juga," katanya.

Shuk pernah menjadi peserta Raja Lawak Musim ke-5 bersama kumpulan Balas pada tahun 2011 dan mendapat tempat ketiga. Tahun lalu, dia turut menjuarai program Super Bintang Bersama Bintang (BBB) di TV3.

 

#kw Shuk Sahar

#loc Kuala Lumpur

 

End

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 5:08 PM