Fauzi Nawawi
Fauzi Nawawi
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Saluran Astro Warna memohon maaf atas keterlanjuran mengenai perkongsian cerita babak rogol pelakon Fauzi Nawawi terhadap Raja Farah dalam filem Anak Halal menerusi program bual bicara Rumah No 107, baru-baru ini.

Astro Warna dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu.

"Kami selaku penerbit program Rumah No 107 menegaskan bahawa kami memandang serius akan perkara itu. Kami sentiasa berpegang kepada prinsip untuk tidak berkompromi dengan hal-hal berkaitan gangguan seksual dan diskriminasi ke atas wanita, sama ada dari segi perbuatan mahupun tutur kata (secara lisan). "Kami memohon maaf di atas sebarang keterlanjuran yang menyinggung hati mana-mana pihak. Kami akan sentiasa untuk lebih peka serta berhati-hati dalam setiap aspek pengisian kandungan program terbitan kami di masa depan," kata kenyataan itu.

Terdahulu, tular video memaparkan Fauzi bercerita mengenai pengalaman babak rogol dalam filem Anak Halal membabitkan dirinya dengan Raja Farah.

Menerusi video yang tersebar, Fauzi berkata, babak itu bagaimanapun dipotong atas permintaan ibu bapa Raja Farah.

Fauzi kemudiannya tampil memohon maaf secara terbuka terhadap Raja Farah, suami dan keluarga atas perkongsian perkara itu di kaca TV.

Selain Fauzi, Khir Rahman yang juga pengacara program itu turut mengambil pendekatan sama dengan membuat permohonan maaf menerusi hantaran di Instagram.

Selain Fauzi dan Raja Farah, filem Anak Halal yang ditayangkan pada 2007 turut menampilkan lakonan Farid Kamil, Maya Karin, Remy Ishak, Ady Putra, Bront Palarae dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:57 PM