X
YASIN sambut baik lagu kempen kesedaran vaksin.
YASIN sambut baik lagu kempen kesedaran vaksin.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula pada 11 Oktober lalu disambut penuh gembira oleh rakyat Malaysia. Masing-masing teruja, apatah lagi buat mereka yang sudah lebih setahun tidak berjumpa ibu bapa dan keluarga tercinta.

Kebenaran itu juga selepas kadar vaksinasi lengkap di seluruh negara membabitkan golongan dewasa sudah mencapai 90 peratus. Ia sekali gus membuktikan bagaimana tahap kesedaran yang tinggi masyarakat terhadap suntikan vaksin.

Bertepatan dengan kempen kerajaan juga, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia melancarkan lagu Vaksin Rindu sebagai usaha dan inisiatif supaya orang ramai yang belum mendapatkan vaksin boleh berbuat demikian. Selain itu, lagu ini juga bertujuan menaikkan semangat selepas musibah yang menduga kita.

Lagu Vaksin Rindu yang dilancarkan esok adalah ciptaan AkhMas dan Yasin Sulaiman, manakala lirik ditulis oleh Yasin, Suhaimi dan Ghazali. Malah, Yasin turut bertindak sebagai penyanyi.

Yasin berkata, dia tidak berfikir panjang ketika ditawarkan untuk menyanyikan lagu Vaksin Rindu itu kerana tertarik dengan lirik dan tema lagu berkenaan.

"Saya mendapat tawaran menyanyikan lagu ini bulan lalu. Apabila saya dengar melodi dan baca lirik, saya tak fikir panjang untuk kata ya. Saya terus terima dan nak buatnya. Lagi pula, saya suka idea yang dibawa Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia ini.

"Dalam masa sama, saya lebih kepada nak sokong kempen dijalankan mereka. Saya nak raikan matlamat kempen ini menerusi lagu Vaksin Rindu. Melihat usaha mereka, ia sesuatu yang bagus kerana ada kesedaran dan mahu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap suntikan vaksin Covid-19 yang masih melanda negara," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Yasin berkata, dia turut memberikan sedikit sentuhannya pada melodi dan lirik lagu.

"Pada awalnya memang saya kena menyanyi saja. Apabila tengok lirik, ia 'cute' juga. Lagu sederhana dan santai. Disebabkan karya ini daripada NGO, saya tak boleh 'treat' mereka macam orang lain. Jadi, saya ada baiki sedikit pada bahagian lirik lagu supaya lebih baik hasilnya.

"Sebelum itu, saya minta izin dulu dan mereka okay. Ketika dapat tawaran itu pun, muzik sudah siap. Jadi, saya bantu dalam proses 'mixing' sedikit. Alhamdulillah, diharapkan hasilnya dapat diterima baik peminat dan sama-sama kita menghayati lagu ini," katanya.

Ditanya mengenai kewujudan golongan yang belum atau menolak vaksin, Yasin berkata, perkara itu adalah pendirian dan hak masing-masing.

"Di sekeliling saya pun ramai tak ambil vaksin lagi dengan alasan pelbagai atau mungkin juga mereka berasa tak nak terbabit dengan agenda vaksin. Ikut kepercayaan masing-masing. Tapi, bagi saya ia tak jadi masalah pada negara pun. Sebab kadar vaksinasi seluruh negara sudah mencapai 90 peratus.

"Lagi satu, kita tak boleh paksa mereka. Dalam perubatan pun sama. Cuma, pengambilan vaksin ini adalah untuk kesedaran bersama bagi melindungi diri kita," katanya.

Bagaimanapun, menurut Yasin mereka yang digelar antivaksin ini bukan ancaman buat golongan yang sudah mengambil suntikan vaksin berkenaan.

"Saya tak raikan pendapat mereka, tapi saya hormat pendirian mereka. Sebab soal masukkan sesuatu dalam badan adalah atas diri sendiri. Jadi, apa pun keputusan mereka, itu hak mereka.

"Bagi saya, buat masa sekarang bukan satu masalah. Melainkan kalau majoriti yang tak nak vaksin, itu baharu masalah. Antivaksin bukan ancaman buat kita. Kalau tengok sekarang pun kes harian Covid-19 sudah semakin menurun. Tak perlu nak kecoh atau saling bergaduh di media sosial. Pada akhirnya yang tak nak ambil tetap tak nak ambil," katanya lagi.

Sementara itu, Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia berharap lagu Vaksin Rindu yang diterbitkan mereka dapat menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia selepas hampir dua tahun bergelut dengan situasi pandemik Covid-19 ini.

Lagu Vaksin Rindu juga dilihat bertepatan dengan NGO ini kerana mereka adalah persatuan yang aktif dan giat memberi sumbangan sepanjang tempoh pandemik Covid-19. Justeru, untuk membantu dan memberi sumbangan boleh ke arifnasional.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 6:20 AM