Sudirman Mohd Tahir


LAGU Ombak Rindu berjaya mengangkat nama Hafiz Suip dan Adira sebagai pasangan duet paling serasi.

Dalam masa sama, bertebaran gosip mengatakan mereka yang lahir dari program Akademi Fantasia itu sedang hangat bercinta.

Namun, bukan jodoh bersama apabila mereka menemui pasangan masing-masing dan seterusnya berkahwin.

Selepas empat tahun tidak bersua, kini Hafiz dan Adira kembali bersama. Single berjudul Takdir Tercipta seolah-olah takdir buat mereka untuk bekerjasama semula.

Adira, 28, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi berkata, dia kekok kerana sudah lama tidak berjumpa dengan Hafiz apatah lagi bekerjasama dalam lagu.

“Pada awalnya memang kekok, tapi sekejap saja. Tidak lama selepas itu, semuanya okey seperti biasa. Lagipun, fokus utama kami merakamkan lagu ini dan dalam masa sama tidak sabar nak menunggu reaksi peminat.

“Empat tahun adalah tempoh lama sebelum bekerjasama semula. Bagi saya, ini peluang keemasan yang diberikan kepada kami,” katanya.

Menurut Adira, dia dan Hafiz sentiasa bersikap profesional dan tidak sama sekali membawa hal peribadi dalam kerja.

“Dari dulu lagi kami okey dan tak pernah gaduh pun. Cuma, mungkin keadaan tidak mengizinkan untuk bekerjasama selepas masing-masing sudah berkahwin. Saya anggap belum ada rezeki nak berduet lagi.

“Tapi, apabila dapat tawaran untuk menyanyikan lagu ini, ia tepat pada waktu. Apatah lagi ia dijadikan lagu tema drama di TV3. Sedikit sebanyak ia boleh mengembalikan memori

indah peminat ketika lagu Ombak Rindu dan Untuk Kita.

“Sejujurnya, bekerjasama dengan Hafiz memang ‘best’ dan tidak menjangka sama sekali kami akan berduet lagi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan Hafiz pun seorang yang profesional,” katanya.

Adira yang sebelum ini muncul dengan single Pujaan Hati berkata, dia juga sudah bersedia untuk berkongsi pentas dengan Hafiz bagi menyanyikan lagu itu secara langsung dalam mana-mana program.\


“Apabila saya bersetuju berduet dengan Hafiz, ini bermakna saya juga sudah bersedia menyanyikan lagu ini secara langsung dengan Hafiz.

“Saya berharap segala yang dirancang berjalan lancar dan lagu ini dapat diterima baik,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan suami, Datuk Seri Adnan Abu

apabila dia kembali berduet dengan Hafiz, Adira berkata, suaminya okey.

“Alhamdulillah, suami okey,” katanya.

Hafiz pun kekok sama seperti Adira, Hafiz, 29, atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip mengakui kekok apabila mereka bertemu semula.

“Projek ini adalah kata putus syarikat rakaman kami. Mereka nak kembalikan zaman kegemilangan kami menerusi lagu tema.

“Selepas empat tahun kami dipertemukan semula. Sepanjang tempoh itu, kami memang tak pernah jumpa. Diakui, pada awalnya janggal sebab lama tak jumpa, bekerjasama dan berduet.

“Kerjasama kami atas dasar profesional. Lagipun, masing-masing sudah ada kehidupan sendiri,” katanya.

Kali terakhir Hafiz dan Adira berduet menerusi lagu Untuk Kita pada 2015 dan sebelumnya Ombak Rindu pada 2011.

Menurut Hafiz, dia juga sudah bersedia untuk kembali berkongsi pentas dengan Adira.

“Saya sudah bersedia. Lagipun, kami tak pernah gaduh pun. Kami tetap profesional macam dulu dan melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan isterinya, Hafiz berkata suri hidupnya itu sangat memahami.

“Isteri saya okey. Dia faham kerja saya dan tiada perkara berbangkit. Asal saja saya tidak menggatal. Dia tahu saya hanya nak cari makan,” katanya.

Lagu Takdir Tercipta turut dipilih menjadi lagu tema drama Lelakimu Yang Dulu yang bakal ditayangkan di slot Akasia, TV3.

Video lirik lagu ini mula ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Video bermula 9 September lalu.

Serentak dengan itu, lagu ciptaan sepenuhnya Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali tutut dilancarkan di semua platform digital muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:00 AM