Firdous.
Firdous.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Abang Allahyarham Siti Sarah iaitu Ahmad Firdous Raissuddin, 40, meminta orang ramai sentiasa berhati-hati, termasuk mengambil vaksin serta menjadikan penularan Covid-19 ketika ini sebagai iktibar.

Ahmad Firdous berkata kewujudan Covid-19 itu adalah benar dan penderitaan harus dilalui mereka yang pernah dijangkiti virus ini sangat teruk.

"Saya adalah bekas pesakit Covid-19 tahap empat. Apa yang boleh dikongsikan dari pengalaman saya sendiri, ia sangat menyakitkan. Walaupun tidak 'ditidurkan' ketika mendapat rawatan, tetapi sepanjang pengalaman di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Selangor, amat-amat menakutkan.

"Perasaan 'up' dan 'down' di ICU itu biasa, tapi hanya kita saja kena kuat melawannya dengan semangat dan pemikiran positif. Sebagai pesakit Covid-19, dua perkara ini amat penting ketika di ICU untuk memberi kekuatan pada diri sendiri agar terus melawannya sehingga sihat semula.

"Banyak pengalaman dan pengajaran yang saya peroleh selepas kembali pulih daripada Covid-19 ini. Malah, kalau orang cakap dulu saya antivaksin, memang betul saya antivaksin sebelum ini di atas sebab-sebab tertentu. Tapi, sekarang saya bersedia untuk ambil vaksin sebagai ikhtiar kehidupan dan selepas mendapat vaksinasi penuh ia akan memudahkan kita untuk menjalankan pelbagai urusan harian," katanya.

Firdous menerusi perkongsian video berdurasi 33 minit yang dimuat naik di Facebook berkata, bagi sesiapa yang berterusan antivaksin itu adalah hak masing-masing.

"Untuk saya, memang nak ambil vaksin. Kalau boleh dapat segera, saya akan terus pergi cucuk. Tapi, memandangkan masih lagi dalam proses pemulihan kerana paru-paru saya sudah rosak teruk, atas nasihat doktor tak boleh ambil vaksin lagi. Saya akan vaksin selepas sihat sepenuhnya. Apapun, saya sangat berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang sudah bertungkus-lumus menyelamatkan saya ketika di hospital. Mereka ini orang-orang yang hebat dan tidak wajar dianggap sebagai pembunuh.

"Ketika di ICU Hospital Serdang, saya sendiri tengok depan mata seorang jururawat wanita ditugaskan memantau pesakit setiap masa. Tidak pernah pun, pesakit ditinggalkan oleh mereka sebagai petugas barisan hadapan ini. Doktor dan jururawat yang menguruskan pesakit Covid-19 sepenuhnya. Lagipun, di ICU mana ada tandas dan pesakit dirawat semuanya memakai lampin pakai buang. Jadi, jururawat-jururawat inilah yang menjaga dan membersihkan pesakit setiap masa," katanya.

Katanya lagi, begitu besar pengorbanan mereka. Oleh itu, kepada semua dimohon menjaga diri kalian. Sama ada yang antivaksin dan sudah pun divaksin lengkap, kena sentiasa ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ahmad Firdous juga meminta membeli alat mengukur paras oksigen, oxymeter untuk diletakkan di rumah bagi membolehkan pengesanan awal apabila dijangkiti Covid-19 dan tidak berlengah untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Terdahulu, Ahmad Firdous yang disahkan positif Covid-19 pada awal Ogos lalu dimasukkan ke Hospital Serdang sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Pantai di Bangsar untuk rawatan selanjutnya.

Ahmad Firdous bersama keluarga besarnya disahkan positif Covid-19 sekitar Julai lalu. Akibat virus ini, sudah meragut dua nyawa iaitu adiknya, penyanyi Siti Sarah yang meninggal dunia pada 9 Ogos lalu serta pembantu rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 1:33 PM