GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Saya tak rasa mana-mana negara dalam dunia ini akan capai 100 peratus golongan dewasa divaksin.

"Lebih baik kita fokus dos penggalak kepada penerima vaksin untuk perlindungan maksimum," kata Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun.

Beliau berkata, secara logik di mana-mana tempat dalam dunia akan ada penolakan terhadap vaksin Covid-19 atau pun golongan antivaksin.

Sehubungan itu, katanya, usahlah bersusah payah waktu ini hendak usahakan 100 peratus golongan dewasa divaksin.

"Tambahan pula, sebenarnya kita sudah mencapai sasaran asal untuk imuniti kelompok apabila lebih 80 peratus populasi dewasa lengkap menerima vaksin.

"Pada masa ini lebih baik negara memfokuskan kepada dos penggalak, sebabnya kita kena faham bahawa Pfizer dan AstraZeneca yang membuat kajian menunjukkan bahawa antibodi penerima vaksin keluaran mereka akan jadi rendah selepas enam bulan sahaja penerimaan vaksin. Jadi vaksin penggalak diperlukan.

"Jadi lebih baik, kita fokus sasaran sekarang bukannya nak capai 100 peratus golongan dewasa divaksin tetapi lebih baik menggalakkan golongan sudah divaksin yang kini mencapai 94 peratus, diberikan dos penggalak," katanya.

Beliau berkata, ini untuk memastikan lebih ramai individu dewasa di Malaysia yang sudah melepasi enam bulan vaksin lengkap diberikan sebelum ini, dapat menerima suntikan vaksin penggalak seterusnya memberikan perlindungan lebih maksimum.

Katanya, itu adalah fokus kepada benda yang lebih penting serta realistik lebih-lebih lagi tiada negara dalam dunia setakat ini yang dapat 100 peratus.

"Untuk dapat lebih 90 peratus (penduduk dewasa divaksin) pun saya rasa Malaysia negara pertama capai tahap sedemikian.

"Tak silap saya, negara maju pun tak capai lagi lebih 90 peratus. Jika ini adalah peperiksaan, cikgu sudah beri kita markah A+," katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi pada 24 Februari lalu dan Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yasin waktu itu menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:34 PM