EZAD LAZIM
EZAD LAZIM
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Ya Allah Ya Tuhanku, ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu aku kecil."

Tulisan penyanyi Ezad Lazim beserta gambar Allahyarham kedua ibu bapanya di Facebook mengundang perasaan hiba dalam kalangan peminat.

Bertambah sedih lagi tarikh kematian orang tuanya selang sehari pada tahun berbeza di mana ayahnya, Mohd Lazim Ismail meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 6 Ogos 2019.

Manakala ibunya, Rosadah Jahaya meninggal dunia di rumah mereka di Taman Wira, Mergong, Alor Setar, Kedah pada 7 Ogos tahun lalu.

Ezad yang dihubungi mengakui terlalu merindui kedua-dua mereka.

"Hari ini genap dua tahun abah tiada dan esok genap setahun pula emak pun tiada. Kiranya hari ini dan esok hari kami adik beradik sama-sama memperingati kedua arwah ibu bapa saya yang kembali ke rahmatullah," katanya kepada Harian Metro.

Dalam kejadian yang berlaku, Allahyarham Mohd Lazim meninggal dunia kira-kira jam 7.25 malam akibat jangkitan kuman di bahagian pinggang yang seterusnya merebak ke paru-paru.

Ezad ketika itu terbabit menjayakan program Muzikal Lawak Superstar.

Rosadah pula dilaporkan rebah dalam bilik air ketika mahu mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Subuh.

Ezad berkata, dia agak sedih kerana impian untuk membawa ibunya mengerjakan umrah tidak kesampaian.

"Semasa saya jadi petugas umrah dengan sebuah syarikat dahulu, saya cakap dengan emak kalau ada rezeki nak bawa dia dan adik saya, Rizal untuk pergi umrah.

"Malah kalau boleh saya nak bawa semua termasuk kakak-kakak saya dan bercadang tunaikan umrah untuk arwah abah ketika itu.

"Emak amat sedih mendengarnya. Apakan daya hasrat ini tak jadi kenyataan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ezad kini berehat dua minggu selepas menjalani pembedahan akibat masalah gastrik kronik atau refluks gastroesofagus (GERD), di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam pada 22 Julai lalu.

"Saya jalani pembedahan ulu hati longgar dan buang batu pundi hempedu.

"Jadi saya kena berpantang dari segi makan dalam tempoh ini bagi memastikan benar-benar sembuh," katanya.

#kw Ezad Lazim

#loc Kuala Lumpur

End

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 12:38 PM