DRAMA bersiri  Squid Game terbitan Netflix menjadi fenomena global.
DRAMA bersiri Squid Game terbitan Netflix menjadi fenomena global.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, drama bersiri dari Korea Selatan terbitan Netflix, Squid Game mendominasi perbualan di ruang maya.

Ada yang mengagumi hasil karya berkenaan namun, tidak kurang yang menentang penyiaran siri itu kerana babak yang dilihat terlalu ganas dan menyelitkan unsur seksual dan bahasa kurang sopan.

Namun, sesuailah dengan klasifikasinya untuk tontonan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Naskhah dari Korea Selatan sama ada filem, drama bersiri atau muzik tidak asing lagi bagi penonton di Asia namun, Squid Game ternyata membuka ruang kepada pasaran lebih meluas.

Menurut laporan ANI, siri berkenaan menjadi rancangan paling banyak ditonton di 81 negara kecuali Turki dan Denmark.

Media asing menyifatkan siri itu menjadi naskhah paling unggul dalam sejarah penerbitan Netflix dan muncul sebagai fenomena global.

Malah, eksekutif di Netflix juga terkejut dengan sambutan baik terhadap siri itu kerana ia menduduki tempat pertama di 90 negara termasuk Amerika Syarikat (AS).

Menurut pengarah besar Netflix, Kim Min-young yang bertanggungjawab menguruskan semua aktiviti kreatif di Asia Pasifik, siri itu dijangka melangkaui rekod yang pernah dicatatkan oleh drama British Bridgerton dan siri Perancis Lupin dari aspek tempoh dan jumlah tontonan.

Katanya, beliau tidak pernah melihat peningkatan yang agresif sebagaimana ditunjukkan oleh siri ini di mana trailer yang disiarkan di YouTube juga mencecah 14 juta tontonan, dua kali ganda berbanding Bridgerton dan Lupin.

Berdasarkan laporan ANI, Netflix sebelum ini melabur kira-kira AS$700 juta (RM2.93 bilion) untuk penghasilan filem dan drama Korea antara 2015 dan 2020 serta merancang melabur AS$500 juta (RM2.09 bilion) tahun ini.

Sejak 2016, Netflix sudah menerbitkan kira-kira 80 drama dan filem Korea.

Antara 2019 dan 2020, Netflix melabur sekitar AS$400 juta (RM1.67 bilion) di India bagi menerbitkan filem Bollywood serta melabur AS$17 bilion (RM71.1 bilion) tahun ini untuk penghasilan kandungan global.

Ini bermakna, kejayaan Squid Game mengukir senyuman besar buat Netflix khususnya dengan munculnya saingan sengit daripada penyedia kandungan lain seperti Disney+ dan Amazon Prime yang turut mempunyai siri original tersendiri.

Populariti K-drama ternyata menjadi asas kejayaan siri berkenaan khususnya di luar Asia.

Menurut Netflix, tontonan untuk naskhah K-drama di AS meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun.

Katanya, kira-kira 95 peratus penonton siri berkenaan adalah dari luar Korea di mana ia menyediakan sari kata dalam 31 bahasa dan turut dialih suara ke 13 bahasa.

Bagaimanapun, pengarah siri itu, Hwang Dong-hyuk berkata, siri berkenaan dirancang lebih sedekad lalu dan beliau menyangka ia mustahil untuk diterbitkan kerana banyak adegan luar biasa.

Katanya, dia berdepan kesukaran ketika menghasilkan siri itu termasuk terpaksa menjual komputer ribanya untuk mendapatkan wang tunai.

Menurut laporan BBC, penonton mungkin terpaksa menunggu lama untuk musim kedua siri itu.

Hwang melalui temu bual dengan Variety berkata bahawa beliau belum mempunyai perancangan kukuh untuk Squid Game 2.

Di sebalik populariti siri ini, muncul kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang risaukan anak-anak terpengaruh dengan adegan yang ditonjolkan.

Menurut laman imdb.com, babak ganas daripada siri ini dimasukkan dalam kategori severe atau sangat teruk. Babak menakutkan dan terlalu grafik juga dikategorikan severe.

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa babak kurang sopan, selain ada watak yang gemar mencarut. Pendek kata, ia memang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak atau remaja di bawah usia 18 tahun.

Netflix secara jelas memang meletakkan klasifikasi tontonan untuk usia 18 tahun ke atas dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengawal apa yang anak-anak kita boleh tonton.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah, adakah penonton Malaysia sudah mula menerima normalisasi adegan ganas dan kurang sopan yang dipaparkan dalam filem atau drama luar sebagaimana kita mula tidak pelik jika ada watak pasangan sejenis dalam naskhah yang ditonton?

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 7:00 AM