PENANGAN Squid Game  menyebabkan ramai terlupa ia produk Korea kerana bersifat antarabangsa dan global. FOTO Netflix
PENANGAN Squid Game menyebabkan ramai terlupa ia produk Korea kerana bersifat antarabangsa dan global. FOTO Netflix
Georgie Joseph

Fenomena luar biasa dicipta siri Korea Selatan, Squid Game baru-baru ini jelas menjadi perbualan satu dunia. Kejayaan diraihnya membuktikan siri berkenaan meninggalkan impak besar.

Konsep permainan zaman kanak-kanak yang diangkat menjadi pertarungan 'nyawa' memberi 1,001 perdebatan. Menariknya, konsep diketengah pengarah yang juga penulisnya, Hwang Dong-hyuk sangat unik dan segar.

Bagaimanapun, segelintir netizen tempatan nampaknya ada pandangan tersendiri terhadap siri itu. Penerimaan ditunjukkan lebih menjurus kepada kritikan negatif berdasarkan beberapa aspek siri berkenaan.

Paling menjadi isu semestinya babak lucah pendek yang dipaparkan dalam sebuah episodnya. Tidak dinafikan, babak itu bukan keperluan besar pun dalam siri terbabit namun ternyata memberi impak besar!

Amat ironi apabila babak itu digembar-gembur sehingga menenggelami plot keseluruhan Squid Game. Ini kerana sebagai penonton, masing-masing ada kuasa untuk abaikan daripada menonton bahagian itu.

Memang diakui, ia bertentangan dengan norma masyarakat tempatan untuk dipertontonkan, tetapi hakikatnya babak dipaparkan itu komersial dan bukan bersifat 'pornografi' melampau.

Dalam hal sebegini, ia berbalik kepada mentaliti penonton dan apa tujuan mereka mengikuti sesebuah siri. Jika untuk hiburan, jadilah penonton yang realistik dan munasabah menerima sesebuah karya.

Kemudian, tidak ketinggalan golongan yang mengutuknya hanya gara-gara siri itu berasal dari Korea Selatan. Bagi mereka, penonton tempatan terlalu taasub kepadanya disebabkan gilakan produk Korea.

Padahal, siri terbitan Netflix itu jauh menyimpang daripada konsep siri klise dari negara terbabit. Hakikatnya, ia antara siri yang memberi angin baharu dalam industri hiburan dunia.

Skop penghasilan naskhah itu tidak sempit dan sekadar menjurus kepada pasaran Korea atau serantau sahaja. Sebaliknya, penangannya sehingga ke radar industri perfileman Barat.

Jenamanya meluas sepantas kilat dan dipromosikan jutaan orang dengan kreativiti berbeza. Sehinggakan ramai pasti terlupa ia produk Korea sebaliknya bersifat antarabangsa dan global.

Demikian juga aspek brutal membabitkan pembunuhan dalam siri itu. Babak nyawa melayang semestinya sudah menjadi nadi utama dalam kisah berkisar perlumbaan itu.

Produksi siri terbabit pasti sudah menimbang tara segala kemungkinan dan mencari helah sebaik-baiknya untuk aspek itu. Namun, ia tidak dapat dielak demi memastikan naskhah itu hidup dan realistik.

Bukan perkara baharu pun, kisah pembunuhan atau pemaparan brutal seperti darah dan otak terburai sudah lama dipaparkan dalam filem mahupun siri. Bezanya, bagaimana isu sensitiviti ditangani sahaja.

Dalam siri itu, paparan aspek brutal terbabit jelas menjadi dan meyakinkan. Kepuasan itulah yang semestinya dinantikan penonton apabila babak ditampilkan benar-benar berkesan. Bayangkan sekiranya babak itu tidak dilaksanakan dengan teliti serta longgar? Kelak, penonton juga tidak puas dan pasti ada segelintir yang tetap tidak berpuas hati itu mencari kesalahan demi kesalahan.

Bukan memuja jauh sekali taasub, tapi dalam menerima sajian karya seperti Squid Game, penonton perlulah membuka minda serta mentaliti. Kalau teringin tonton, silakan.

Bagaimanapun, tidak perlu cari kesalahan demi kesalahan untuk membidas penerimaan orang lain yang sukakannya.

Apalagi, belum tonton tapi sudah bising seperti 'tin kosong' gara-gara dengar cakap negatif orang lain.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 11:36 AM