LADY Gaga memperagakan aksesori diperbuat daripada bahan merupai bulu burung yang mencuri perhatian netizen.
LADY Gaga memperagakan aksesori diperbuat daripada bahan merupai bulu burung yang mencuri perhatian netizen.
Michelle Gun


Aksesori menyerupai bulu burung yang dibawa penyanyi terkenal Lady Gaga ketika menghadiri malam gala Anugerah Review National Board, Selasa lalu mencuri perhatian netizen.

Ramai mempersoalkan rupa bentuk aksesori warna hitam dan emas yang bersaiz besar itu sehingga dianggap misteri.

Ada menganggap aksesori itu seperti beg tangan, dompet, Cape atau sejenis perhiasan berbulu yang diletak di leher.

Menurut portal PageSix, Ralph Lauren mengesahkan aksesori luar biasa itu sebagai Cape yang sepatutnya dipakai Lady Gaga pada majlis berkenaan.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 32 tahun itu memilih untuk memegang aksesori terbabit sepanjang acara berlangsung.

Lady Gaga yang juga bintang filem A Star Is Born tampil anggun dalam gaun hitam tuksedo diperbuat daripada 23,000 batu kristal rekaan khas Ralph Lauren.

Pada majlis penganugerahan itu, Lady Gaga menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik bagi persembahannya dalam A Star Is Born.

Sementara itu, Lady Gaga membuat permohonan maaf kerana berkolaborasi dengan penyanyi R&B, R Kelly yang dituduh melakukan serangan seksual terhadap beberapa mangsa.

Pada 2013, penyanyi itu berkolaborasi dengan Kelly menerusi lagu Do What You Want. Single yang dimuatkan dalam album Artpop itu mencetuskan kontroversi panas berikutan dua penyanyi berkenaan menjayakan persembahan dengan aksi kurang senonoh.

Susulan kecaman netizen, Lady Gaga berjanji akan menarik lagu itu daripada iTunes dan aplikasi penstriman lain.

Dia turut berjanji tidak akan bekerjasama dengan Kelly pada masa depan.

Sebelum ini, Lady Gaga mendedahkan pernah menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang jauh lebih tua daripadanya.

Ketika itu, penyanyi terbabit berusia 19 tahun dan pada 2015 dia menghasilkan runut bunyi Till It Happens To You bagi dokumentari Hunting Ground yang mengetengahkan isu serangan seksual di institusi pengajian tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 11:17 AM