Foto Yana sekeluarga bersama ibu dan bapanya.
Foto Yana sekeluarga bersama ibu dan bapanya.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Yana Samsudin berkongsi berita duka mengenai 14 anggota keluarganya di Johor yang disahkan positif Covid-19 termasuk ibu bapa tersayang.

Kesemua mereka dan ibu bapanya kini diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

"Memang saya sangat risau kerana saya berada jauh dari keluarga. Lagi pula, ibu bapa saya pun sudah berusia dan menetap sendiri.

"Lebih merisaukan adalah, ibu saya yang kini berusia 60 tahun ada masalah buah pinggang manakala bapa saya yang berusia 76 tahun ada masalah paru-paru," katanya kepada Harian Metro.

Selain ibu bapanya, dua kakaknya serta keluarga mereka juga turut disahkan positif.

"Kesemua mereka bersama anggota keluarga masing-masing kini menjalani kuarantin di rumah," katanya.

Dalam temu bual sama, Yana menasihatkan masyarakat supaya menjalani pemeriksaan dan ujian calitan sekiranya mengalami sebarang tanda awal yang mencurigakan.

"Kak Ngah (kakak kedua) saya pada awalnya sekadar batuk biasa dan dia menyangka bahawa itu adalah kesan daripada rambutan yang dimakannya.

"Bila saya bercakap dengannya melalui telefon, saya dapat dengar batuknya yang bukan seperti batuk biasa. Saya pujuk dia untuk menjalani ujian calitan untuk satu keluarga dan semuanya positif termasuk lima anak dan suaminya.

"Selepas itu, Kak Long (kakak pertama) saya pada awalnya tak ada sebarang simptom, cumanya anaknya ada tanda-tanda nak selesema.

"Saya minta dia sekeluarga menjalani ujian calitan dan keputusan menunjukkan dia dan empat anggota keluarga yang lain, positif.

"Kalau ada sebarang tanda-tanda yang mencurigakan, tolonglah buat ujian calitan secepat mungkin sebelum keadaan menjadi lebih teruk," katanya.

Menurut Yana, dia juga faham dengan situasi yang berlaku dan harga ujian calitan yang agak mahal.

"Saya faham, kadang-kadang ada orang yang ekonominya tak mencukupi kerana harga ujian calitan yang agak mahal. Jadi, sebagai keluarga, kita cuba untuk sama-sama membantu satu sama lain," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 3:51 PM