ABANG Zan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ABANG Zan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: "Saya hanya bergantung pada mesin oksigen sepanjang dirawat di Hospital Lama Alor Setar selepas disahkan positif Covid-19 dan ketika itu saya hanya fikirkan kematian kerana sukar bernafas, demam yang teruk selain deria bau tidak terasa langsung.

"Waktu itu, isteri saya dihantar ke Hospital Baling kerana turut positif manakala empat anak berusia 17 hingga 24 tahun dikuarantin di rumah kerana kontak rapat," kata bekas pesakit Covid-19 yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Zan, 55.

Menurut Abang Zan, dia hanya mahu sekadar berkongsi apa yang berlaku pada dirinya dan keluarga selepas disahkan positif Covid-19 ketika kluster Dah Mahsuri di Bandar Darulaman, di sini, Mei lalu.

Katanya, dia dijangkiti virus itu pada 18 Mei ketika menunaikan solat di masjid Taman Mahsuri namun tidak mengalami apa-apa simptom dan terkejut apabila hasil ujian calitan yang dilakukannya disahkan dia positif.

"Mulanya isteri saya demam dan batuk menyebabkan dia menjalani ujian calitan di masjid terbabit dan disahkan positif.

"Berikutan itu, saya turut melakukan ujian sama dan terkejut disahkan positif kerana saya kelihatan sihat dan tak ada sebarang simptom," katanya ketika ditemui di Taman Mahsuri, di sini semalam.

Menurut Abang Zan, dia dihantar ke Hospital Kulim selama satu malam manakala isterinya di Hospital Baling disebabkan bilangan pesakit yang ramai di hospital di Alor Setar sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Lama Alor Setar.

Katanya, pada hari keempat berada di wad hospital berkenaan, barulah dia merasa simptom seperti sakit dada, batuk, demam sehingga dia sukar bernafas dan terpaksa menggunakan bantuan mesin oksigen.

"Ketika itu, saya hanya fikirkan antara hidup mati kerana ketika itu saya hanya mampu melihat ada pesakit yang dirawat di wad 'ditidurkan' sebelum meninggal dunia.

"Tapi syukur Allah panjangkan umur saya kerana saya hanya terfikirkan keadaan keluarga ketika itu dan selama 14 hari saya menjalani rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Menurut Abang Zan, sepanjang tempoh rawatan juga, 15 jemaah masjid Taman Mahsuri meninggal dunia akibat Covid-19.

Katanya, ketika itu semangatnya hilang kerana kesemua ahli jemaah masjid yang meninggal itu dikenalinya dan terdiri di kalangan rakan, jirannya dan kerap bertemu ketika menunaikan solat di masjid.

"Bayangkan ketika itu jiran di hadapan rumah, kanan dan kiri serta sebahagian daripada penduduk di taman itu turut disahkan positif Covid-19 menyebabkan saya tak berani keluar sebelum ambulans datang jemput sehingga kawasan itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu dan sampai sekarang saya trauma kerana menjadi mangsa dan Covid-19 yang benar-benar wujud," katanya.

Justeru itu, Abang Zan mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan hanya keluar bila perlu sahaja bagi mengelakkan dijangkiti Covid-19.

Katanya, dengan wujudnya varian baru Delta juga amat menakutkan kerana ia boleh menjangkiti dengan cepat.

"Saya pernah alami teruknya dijangkiti Covid-19 dan bersyukur kerana sudah mengambil satu dos vaksin sebagai perlindungan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 11:23 AM