Allahyarham Siti Sarah
Allahyarham Siti Sarah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Elyana, 34, berkongsi paparan perbualannya bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang mahu meminjam semangatnya untuk terus kuat berjuang melawan Covid-19.

Dalam paparan itu, dua sahabat baik ini saling mengagumi dan sentiasa memberi kata semangat di antara satu sama lain supaya cepat sihat daripada sakit.

Elyana turut meminta Siti Sarah supaya menjaga diri baik-baik, selalu gembirakan hati, banyakkan zikir dan percaya pada rencana Allah. Malah, Elyana yakin sahabatnya itu kuat dan dia sentiasa mendoakan Siti Sarah dari jauh.

"Aku sayang kau. Aku tau kau pun kuat semangat. Aku ambil semangat kau," tulis Siti Sarah.

Tidak terkecuali, Allahyarham juga mengingatkan Elyana supaya menjaga diri berikutan kes jangkitan Covid-19 yang semakin tinggi.

Sementara itu, pelawak dan penyampai radio, Fad Bocey, 31, pula mendedahkan sikap Siti Sarah yang dikenalinya dan menganggap Allahyarham seorang individu yang sangat menyokong.

"Saya dan isteri agak rapat juga dengan arwah dan suaminya, Shuib. Arwah ini orangnya sangat ceria dan suka memberi semangat kepada orang lain.

"Kalau anda tengok video-video yang Sarah kongsikan di Instagram dia, itulah sikapnya yang sebenar bersama Shuib di rumah. Mereka ini pasangan yang bahagia dan saling menyokong," katanya.

Fad membuat perkongsian itu menerusi video berdurasi 11 minit dan 18 saat Instagram yang memaklumkan dia sangat terkejut dengan berita pemergian Siti Sarah, pagi hari ini.

Menurut Fad, Shuib juga ada berkongsi kepadanya mengenai sikap Siti Sarah dalam sebulan dua terakhir ini.

Menurut Fad, Shuib memaklumkan isterinya sangat memikirkan orang lain.

"Kata Shuib pada saya, dia tak tahu dalam masa sebulan dua ini Siti Sarah asyik memikirkan keadaan orang lain di sekelilingnya. Namun, apa yang dilakukan oleh arwah itu Allah nak tunjukkan apa yang sepatutnya kita buat dalam hidup ini," katanya.

Fad berkata dia berharap Shuib dan anak-anak kuat menghadapi kehilangan ini.

Katanya, dia masih tak henti berfikir bagaimana penerimaan anak-anak Allahyarham apabila mendapat tahu ibu mereka sudah tiada.

Siti Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), di sini, jam 5.13 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:09 PM