FAD dan Achey memegang baju arwah Abam. FOTO Instagram Fad, Achey
FAD dan Achey memegang baju arwah Abam. FOTO Instagram Fad, Achey
Syafil Syazwan Jefri


“AKU tak kuat bila sampai rumah kau Bam".

Itu kata-kata yang ditulis anggota Bocey, Fad di Instagram yang disertakan bersama video ketika dia tiba di kediaman keluarga Allahyarham Abam Bocey di Gombak, pagi tadi.

Dalam video itu juga kelihatan Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam memeluk erat adik Allahyarham yang juga pelawak, Ali Puteh.

Fad tiba di Kuala Lumpur dari Tokyo, Jepun awal pagi hari ini dan ketibaannya disambut seorang lagi anggota Bocey, Achey.

Kedua-duanya turut berpelukan sambil menangis.

Achey turut membawa bersama baju yang pernah dipakai Abam dan berkongsi beberapa foto dan video saat menyambut kepulangan Fad di Instagram.

"Darah, nafas, jantung aku kembali bergerak tenang. Sayap kiri dan kanan #Bocey terasa mula bergerak perlahan semula. Itu yang kami ada buat masa ini," tulis Achey.

Fad juga berkongsi video ketika dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Aku terbayang kau pun ada dalam pelukan itu. Allah, kita kena kuat ya Achey. Dapat semangat aku balik," tulis Fad.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor jam 7.15 pagi, Isnin lalu.

Fad ketika itu berada di Tokyo kerana bercuti bersama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 2:20 PM