EMMA Akma.
EMMA Akma.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Nak kata saya tiada kanser tak boleh. Nak kata saya ada kanser pun tak boleh. Itu yang doktor maklumkan kepada saya."

Itu kata pelakon, Emma Akma, 52, mengenai keputusan pembedahan membuang ketumbuhan bersaiz sebiji bola sepak dalam perutnya pada 12 Ogos lalu.

Emma atau nama sebenarnya Noorakma Yunus berkata, dia cuma lega apabila doktor menjelaskan keputusannya adalah 6/10.

Alhamdulillah, ketika pembedahan ketumbuhan saya seketul yang 'solid', sel kanser di dalamnya tak pecah dan tak merebak ke mana-mana. Jadi, dia dekat situ saja. Kemudian doktor periksa bahagian usus, bahagian rahim, ovari dan tiga ketul kelenjar yang dikeluarkan pun tiada sel kanser," katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial.

Pelakon drama Gerak Khas: The Finale ini berkata, dia amat bersyukur dengan penjelasan doktor itu kerana tidak perlu menjalani kimoterapi.

"Sebenarnya itu yang saya nak dengar kerana saya takut dan risau. Sesiapa pun risau dengar macam itu. Doktor kata sepanjang dua tahun saya kena datang ke klinik tiga bulan sekali untuk pemeriksaan.

"Selepas dua tahun, enam bulan sekali dan selepas lagi dua tahun, seumur hidup kena datang hospital untuk pemeriksaan perubatan setahun sekali," katanya.

Memasuki minggu keenam pembedahan, Emma berkata, keadaan kesihatannya semakin baik.

"Cuma saya masih lagi tak boleh berjalan dengan normal sendirian. Saya masih lagi perlukan pertolongan daripada suami. Maksudnya nak bangun dari katil dia kena papah saya.

"Begitu juga nak ke dapur, dia kena papah dan pimpin saya. Kalau nak berjalan saya kena pegang dinding. Namun, dari segi percakapan alhamdulillah dah okay sikit.

"Saya sekarang tidaklah letih atau lemah sangat berbanding sebelum ini. Apapun saya masih sakit di bahagian perut. Maklumlah saya bedah bahagian perut. Segala otot perut kita perlukan untuk bergerak," katanya.

Dengan perubahan ini, Emma optimis dapat berjalan secara normal dalam tempoh tiga bulan.

"Sekarang baru sebulan setengah dan ada lagi sebulan setengah. Harap Disember nanti saya dapat berjalan seperti biasa," katanya.

Terdahulu, Emma menjalani pembedahan dengan kos RM20,000 menerusi sumbangan netizen dan rakan-rakan artis.

Dia sebelumnya tampil merayu bantuan orang ramai selepas disahkan menghidap kanser perut dan ketumbuhan sebesar saiz sebiji bola sepak.

Dia mengakui buntu kerana pembedahan segera ketumbuhan itu memerlukan kos sebanyak RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 9:40 PM