Emma Akma. FOTO ASWADI ALIAS
Emma Akma. FOTO ASWADI ALIAS
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Emma Akma, 52, lega penderitaan kanser perutnya hampir berakhir selepas berjaya menerima sumbangan mencecah RM50,000 untuk digunakan bagi membiayai pembedahan membuang ketumbuhan dalam perutnya.

Emma atau nama sebenarnya Noorakma Yunus berkata, dia mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang tampil menghulurkan bantuan ikhlas buatnya.

"Segala puji bagi Allah, dana terkumpul sudah mencecah RM50,000 pada Jumaat lalu, syukur Alhamdulillah! Doakan urusan hospital seterusnya pada minggu depan, berjalan lancar. 

"Jutaan terima kasih atas pertolongan ini. Moga asbab dari kebaikan ini, Allah limpahi rahmat dan rezeki yang berlipat kali ganda buat kamu semua," katanya.

Menurut Emma, dia kini menunggu temujanji kedua bersama Institut Kanser Negara (IKN) bagi mengetahui sama ada pembedahan boleh dijalankan dalam tempoh masa terdekat.

"Khamis lalu, saya sudah ke IKN bagi melakukan pemeriksaan dan berbincang mengenai tahap ketumbuhan itu. Minggu hadapan, saya akan mengetahui status mengenai pembedahan berkenaan.

"Kalau dapat dijalankan di IKN, syukur Alhamdulillah kerana kosnya sedikit murah. Saya cuma nak buat pembedahan itu secepat mungkin dan gunakan dana yang disumbangkan oleh orang ramai ini untuk rawatan susulan kelak," katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Gerak Khas: The Finale terbabit mengakui sangat terharu apabila penderitaannya terus mendapat perhatian ramai pihak. Mereka termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.

Terbaharu, Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif (KP) JKM, Che Samsuzuki Che Noh antara yang tampil menghulurkan bantuan kepada Emma.

"Syukur sangat JKM teringat juga dekat saya. Sumbangan berupa barang keperluan harian yang mereka sumbangkan amat saya hargai," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Emma buntu mencari dana sebanyak RM50,000 untuk menjalankan pembedahan membuang ketumbuhan sebesar bola sepak di dalam perutnya. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 3:59 PM