EZAD (kanan) belum sempat melawat bapanya, Mohd Lazim (kiri) yang sakit kerana terikat komitmen kerja. FOTO Arkib NSTP dan Ihsan Rozita Lazim
EZAD (kanan) belum sempat melawat bapanya, Mohd Lazim (kiri) yang sakit kerana terikat komitmen kerja. FOTO Arkib NSTP dan Ihsan Rozita Lazim
Ridzuan Abdul Rahman


BAPA kepada penyanyi Ezad Lazim dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam selepas mengadu sakit dalam perut dan mengalami masalah sakit di bahagian pinggang.

Ezad, 39, berkata, bapanya Mohd Lazim Ismail, 74, sudah seminggu mengadu sakit dan kakak keduanya, Rozaimah, 44, segera membawanya menjalani pemeriksaan doktor di klinik serta membuat fisioterapi.

“Selepas membuat pemeriksaan air kencing di sebuah pusat perubatan, doktor memaklumkan ayah hanya mempunyai masalah kencing kotor dan memberikan ubat serta memintanya balik berehat.

“Keluarga kami mula risau apabila ayah tiba-tiba tidak boleh berdiri dan berjalan sehingga terpaksa dipapah. Dia juga jatuh dalam tandas dan tersembam di ruang tamu kerana hilang imbangan.

“Akhirnya kakak membawa ayah membuat pemeriksaan di hospital swasta kerana mahu mendapatkan nasihat pakar tulang mengenai kakinya dan mengenalpasti masalah sakit pinggang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Ezad, hasil ujian x-ray mendapati dua tulang lumbar bapanya tersepit pada saraf yang menjadi punca kaki kanannya lemah.

“Doktor meminta ayah membuat ujian darah terlebih dulu sebelum memberikan keputusan berkenaan rawatan kaki. Keputusan darah memang mengejutkan kerana bacaannya amat kronik.

“Kakak juga meminta pihak hospital membuat ultra scan di bahagian perut dan pinggang ayah kerana dia juga mengadu pedih ulu hati sebelum doktor mengesahkannya ada batu hempedu,” katanya.

Ezad berkata, doktor kemudian mengeluarkan surat meminta ayahnya menjalani rawatan susulan segera di Hospital Sultanah Bahiyah untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

“Semalam abah ditempatkan di zon merah dan hari ini berada di zon kuning, belum dipindahkan ke wad biasa.

“Selepas ini barulah kami putuskan untuk ayah membuat pembedahan batu hempedu atau tulangnya yang tersepit pada saraf.

“Buat masa ini, tiada apa-apa yang boleh dilakukan kerana masih menunggu laporan dan tindakan doktor sebelum memikirkan rawatan lain,” katanya.

Ezad belum berpeluang pulang ke Kedah kerana terikat dengan aktiviti seni dan hanya menghubungi kakaknya bagi mendapatkan perkembangan terkini kesihatan bapanya.

“Saya berharap ayah akan sihat kembali dan dipermudahkan segala kesulitannya. Sudah tentu saya mengharapkan doa peminat supaya ayah kembali sihat seperti dulu,” katanya.

Bapa Ezad adalah seorang pemuzik yang pernah bermain muzik bersama kumpulan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kedah dalam genre ghazal parti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:48 PM