Man Kidal.
Man Kidal.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Kalau sudah kembali pulih nanti, kami pun tak nak menyusahkan sesiapa," kata isteri Man Kidal, Norlaila Yusof yang enggan mengharapkan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dihulurkan sepanjang hayat namun bersyukur dengan kelulusan untuk meletakkan mereka dalam kategori asnaf sementara.

Norlaila berkata, minggu lalu LZS sudah menghulurkan sumbangan secara terus ke akaun bank suaminya dan membayar separuh duit sewa rumah.

"Sebenarnya saya baru saja menerima panggilan daripada pihak LZS yang memaklumkan saya akan menerima surat kelulusan dalam waktu terdekat ini untuk mengetahui senarai bantuan yang diberikan.

"Namun saya bersyukur dengan bantuan yang sudah diberikan LZS setakat ini kerana ia sudah cukup memadai serta meringkan beban kami sekeluarga yang terkesan akibat Covid-19 ini," katanya.

Menurut Norlaila, dia bagaimanapun risau dengan keadaan suaminya yang belum pulih sepenuhnya meskipun sudah bebas daripada penyakit berjangkit itu.

"Alhamdulillah, kami berdua sudah bebas daripada jangkitan Covid-19, tapi keadaan kesihatan suami tidak mengizinkan apabila malam tadi dia pitam dan menggigil.

"Selama 40 tahun kami bersama, ini kali pertama saya melihat dia jatuh sakit teruk disebabkan Covid-19.

"Tapi apapun mohon doakan semoga abang Man kembali sihat dan dipermudahkan segala urusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 3:37 PM