MAN Kidal. FOTO Arkib NSTP
MAN Kidal. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Kita turunkan tandatangan bukan bermaksud Man Kidal masuk Search," kata isteri kepada pemain gitar legenda, Man Kidal iaitu Norlaila Yusof mengulas isu hangat penyertaan suaminya dalam kumpulan 'Search' yang dianggotai Amy (penyanyi), Hillary Ang (gitar) dan Nasir (bass).

Norlaila ketika dihubungi berkata, kenyataan itu salah dan banyak yang bertanyakan perkara ini sehingga dia terpaksa menjelaskan perkara sebenar.

"Saya nak beritahu di sini, Man Kidal bukan anggota Search dan pembabitannya hanya untuk projek khas. Mereka pelawa abang Man buat projek untuk persembahan saja," katanya kepada Harian Metro.

Isu berkenaan hangat dalam kalangan peminat Search kerana berasakan kumpulan yang dianggotai empat rockers 'otai' itu bukan Search yang sebenar.

Ini kerana ia tidak membabitkan pemain gitar, Noordin dan Kid yang masih kekal sebagai anggota Search, manakala Amy pula sudah membuat pengumuman berundur dari Search.

Nasir yang juga masih anggota Search menyertai Amy kerana dilihat seperti tidak 'sebulu' dengan Noordin dan Kid.

Norlaila yang juga pengurus Man Kidal berkata, suaminya itu juga masih menganggotai kumpulan asalnya iaitu Lefthanded.

"Kita bebas buat apa saja dan tak terikat dengan apa-apa. Mereka dah bersetuju untuk membuat persembahan. Itupun sekiranya ada permintaan dari mana-mana pihak," katanya.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang daripada tiada apa-apa, ada baiknya Man Kidal mengambil apa saja rezeki yang datang sebagai pemain gitar undangan.

"Abang Man kena hentam juga dengan peminat berkenaan isu ini. Ada juga yang hubungi dia secara peribadi dan tanya kenapa nak main dengan Search? Mereka kata tak ingatkah apa yang Search buat dulu? Pada saya itu semua cerita lama.

"Dulu lagi peminat tanya kenapa tak panggil dia masuk Search? Abang Man tak nak dan mereka pun tak nak dia. Okeylah kita buat Lefthanded," katanya.

Norlaila berkata, apabila Man Kidal dipanggil menyertai Amy, Hillary dan Nasir, dia meletakkan syarat kepada suaminya itu.

"Sebagai isteri dan pengurus, saya cakap dengan abang Man agar dengar cakap saya jangan tandatangan apa-apa dengan mereka.

"Projek ada 'show', mereka bayar. Saya tak nak ada apa-apa ikatan. Persetujuan yang dimeterai itu betul untuk kita dapatkan penaja. Jadi orang nak panggil pun tak ragu-ragu. Apa yang dibuat ialah persetujuan bersama, itu saja. Bukan untuk selama-lamanya atau tetap. Man Kidal bergerak bebas dan hanya pemain gitar undangan saja untuk mereka," katanya.

Katanya, suaminya tidak mahu memusuhi mana-mana pihak kerana menganggap semua penggiat industri muzik sebagai rakannya.

"Semua di kiri kanannya adalah kawan. Dia juga sayangkan Noordin dan Kid. Kita sebenarnya dah macam keluarga. Dari muda duduk bersama. Bertahun-tahun kita duduk bersama Nasir, Amy dan yang lain. Dulu mereka berpecah kerana karakter masing-masing tak sama, selain ada arah sendiri.

"Sebenarnya semua datang dari kampung. Tak payahlah nak membezakan antara satu sama lain. Untuk kali ini abang Man kata tak kisahlah nak terbabit kerana apa yang berlaku itu perkara lama," katanya.

Norlaila mengakui suaminya seorang yang memang merendah diri dan disenangi ramai.

"Itu sebabnya apabila kami susah, peminat dan media banyak bantu kami. Abang Man sangat menghargai peminat dan media yang ambil berat dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 5:30 PM