MAN KIDAL
MAN KIDAL
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Ini semua Allah yang atur. Dia nak bagi rezeki macam ini," kata isteri Man Kidal, Norlaila Yusof berkenaan kehadiran pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) ke rumah mereka di Damansara, Petaling Jaya, Jumaat lalu untuk menghulurkan bantuan barangan keperluan asas.

Norlaila ketika dihubungi berkata, di saat mereka mengalami kesempitan hidup akibat suaminya hilang mata pencarian sejak penularan Covid-19, bantuan ini amat berharga.

"Alhamdulillah, ada orang nak bagi. Kita dah dua tahun tak kerja. Ada orang bersimpati, kita nak tolak pun tak boleh. Saya tak minta apa-apa tapi terkejut melihat mereka datang.

"Saya juga diminta isi borang bagi mendapatkan bantuan pada masa depan. Namun nama abang Man diletakkan asnaf dalam kurungan dan saya mulanya terkejut.

"Namun saya fikir balik, apa nak malu. Orang nak cakap apa-apa terpulanglah. Kalau tak tolong tak apa, tapi janganlah kecam. Sebaliknya doakan yang baik-baik," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi bantuan ini, Man Kidal, 57, yang turut positif Covid-19 baru-baru ini, diletakkan dalam kategori asnaf sementara sehingga dapat bangkit semula.

Bantuan terbabit berupa wang bulanan, tunggakan bil utiliti dan sewa rumah.

Norlaila berkata, dia tidak mahu sesetengah pihak tersalah anggap yang mereka meminta-minta.

"Memang ada kes begini sehingga sanggup hubungi anak saya kata macam-macam antaranya kamu tidak malu, kamu adik-beradik tak boleh tolong ibu bapa.

"Kami juga dikata meminta sana sini seperti peminta sedekah. Mestilah dia sedih sehingga menangis. Dia pun susah dan ada keluarga.

"Saya cakap terus terang kami bukan keturunan orang kaya yang banyak duit dan harta. Bila orang hulurkan bantuan apa salahnya saya terima. Orang tanya apa lagi yang perlu. Saya luahkan benda yang jujur," katanya.

Menurutnya, tanpa disangka luahannya menerusi media mendapat respon yang baik termasuklah dari Lembaga Zakat Selangor.

"Wakil LZS puji saya kerana jujur cerita semua masalah tanpa perlu berselindung. Tiada sebab untuk saya malu.

"Saya sedar ramai yang pertikai kenapa tak jual gitar? Ia samalah dengan kereta. Kalau perlu sangat nak cari rezeki ke sana dan ke sini, takkan nak dijual?

"Gitar itu abang Man guna 40 tahun untuk bagi keluarga makan. Saya sangat menghargainya. Dia pun pesan kalau dia tiada nanti jangan bagi orang lain," katanya.

Norlaila berkata, ketika segelintir pihak mempersoalkan mengenai kesusahannya, terdapat ramai lagi pihak yang membantu.

"Saya tak pamerkan nombor, bukan kerana berlagak tapi tak nak meminta-minta. Namun kawan-kawan lain yang bantu sebarkan. Yang nyata, Allah berikan dugaan ini pada kami dan kemudian ada rezekinya untuk kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:57 PM