Man Kidal
Man Kidal
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Walaupun sudah tiga minggu menjalani kuarantin kendiri di rumah akibat positif Covid-19, keadaan kesihatan pemain gitar legenda, Man Kidal, 57, masih lemah.

Isterinya, Norlaila Yusof ketika dihubungi berkata, suaminya masih belum ada deria bau, selain kurang selera makan.

"Keadaannya agak lemah, namun bolehlah makan sikit-sikit sekarang. Saya sendiri pun masih tiada deria bau. Memang agak lambat. Saya kasihankan abang Man yang masih lemah. Dia juga tak boleh makan ubat kerana makin makan ubat, dia makin tumbang.

"Katanya dia migrain. Baru dua hari ini dia agak okey. Itupun kerana saya berhentikan dia makan ubat," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia juga menyuruh suaminya bergerak aktif di dalam rumah dan sesekali keluar berjalan-jalan di sekitar kawasan rumah mereka sebagai terapi.

"Saya pun galakkan abang Man berlatih main gitar agar dia terus aktif. Sebenarnya walaupun dah habis kuarantin, kalau keadaannya

lemah atau tekanan darah rendah, dia boleh buat pemeriksaan di hospital.

"Dia memang dah kena pergi hospital untuk buat pemeriksaan paru-paru dan darah kerana bimbang ada kesan sampingan lain. Kalau ikutkan temujanji dia dah lepas tapi tunggulah esok mungkin kami pergi," katanya.

Norlaila berkata, walaupun sudah menerima surat untuk memotong gelang, mereka masih dihubungi petugas kesihatan beberapa kali supaya suaminya datang semula untuk pemeriksaan.

"Hari itu abang Man tak buat imbasan X Ray. Pesakit berusia lebih 50 tahun memang kena buat imbasan X Ray kerana bimbang ada masalah paru-paru. Nak pergi sendiri buat pemeriksaan yang berbayar pun boleh tapi kena hantar keputusan dan gambar pada mereka," katanya.

Mengulas projek kerjasama dengan bekas pemain gitar kumpulan Search, Hillary Ang, Norlaila berkata, ia masih ditunda berikutan suaminya belum sembuh sepenuhnya.

Norlaila turut mengakui mereka masih berstatus asnaf sementara sehingga satu tempoh ditentukan.

"Ia masih kekal sehingga abang Man pulih. Kalau ikut borang pada borang Lembaga Zakat Selangor (LZS), tempohnya setahun tapi tengoklah kalau dah okey kita pun harap bagi pada orang lain.

"Tapi kalau mereka nak bagi apa salahnya memandangkan keadaan pandemik Covid-19 yang belum ada kesudahan. Mereka memang nak tolong. Pihak media yang tolong melaporkan untuk bantu dan kami amat terharu. Tapi kami bukan meminta-minta sampaikan pusat zakat hubungi tanya kenapa tak beritahu mereka dari awal," katanya.

Norlaila berkata, tidak molek untuk mereka memukul canang memberitahu kesusahan yang dilakui semasa tempoh pandemik ini.

"Namun sampai satu tahap kami dah tak boleh bertahan lagi. Apa yang kita buat semua tak jadi. Buat projek dengan Hillary pun tergantung.

"Kami buat keputusan jual kereta kerana nak buat modal untuk berniaga. Tapi semua usaha tak menjadi dan terbantut disebabkan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 8:55 AM