Penyanyi Uchop Ahmad.
Penyanyi Uchop Ahmad.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Uchop Ahmad, 36, akan berusaha keras mencari dana dan tajaan bagi membolehkannya mewakili Malaysia dalam pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2021 di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat (AS), pada Disember ini.

   Uchop yang pernah muncul juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua pada 2012 berkata, dia sudah mengetahui dari awal perlu menyediakan perbelanjaan sendiri dan bersedia menyahut cabaran ini.

   "Menurut keterangan dalam surat yang diberikan, saya perlu menyediakan sebanyak USD9,500 atau RM22,000 untuk membayar yuran dan perbelanjaan sepanjang 21 hari di sana.

   "Walaupun kosnya tinggi, saya seboleh-bolehnya nak pergi juga kerana bukan senang untuk cari peluang ke sana. Inilah masanya untuk saya cipta nama. 

   "Saya berhasrat nak cari tajaan daripada tokoh politik terkenal iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan bekas menteri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berasal dari tempat tinggal saya iaitu Desa Pandan serta datuk-datuk lain yang sudi menaja yang mana mereka nak saya promosikan produk mereka," katanya.

   Uchop yang kini bekerja sebagai penghantar dan pengambil barang secara sambilan berkata, dia turut mengadakan persembahan secara langsung menerusi Facebook sebanyak dua kali sebulan bagi mencari pendapatan tambahan.

   "Pengusaha produk kecil-kecilan nak taja pun, saya terima. Saya sedia bekerjasama dengan mereka.

   "Saya tak rasa usaha ini sesuatu yang membazir. Kalau nak pergi sendiri memang susah. 

   "Apa yang dilakukan ialah untuk cari pengalaman di sana. Selama ini, saya hanya berada dalam industri seni Malaysia. Ia bagus  untuk saya pada masa akan datang," katanya. 

   Uchop tersenarai dalam kategori Perak, manakala penyanyi Pija Yasin dan Thalia Rasul turut tersenarai dalam kategori Emas untuk WCOPA 2021.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 10:08 PM