UCHOP (kiri) bersama rakan baik, Allahyarham Eddy.
UCHOP (kiri) bersama rakan baik, Allahyarham Eddy.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Tahniah. Anda terpilih sertai Team Malaysia di World Championships of Performing Arts 2021 (WCOPA 2021),".

Inilah mesej ringkas yang dihantar oleh penganjur acara WCOPA 2021 kepada penyanyi Uchop Ahmad yang disambutnya dengan linangan air mata dan perasaan terharu.

Uchop, 36, yang juga juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua pada 2012, berkata perasaannya gembira bercampur sedih kerana tidak dapat dikongsi dengan rakan baik iaitu Allahyarham Eddy Wan Othman atau Eddy Malmsteen.

"Alhamdulillah, impian saya kini dimakbulkan Allah. Saya sebenarnya akan membawa semangat arwah ke sana nanti.

"Kami bersahabat baik dan sama-sama ada impian untuk mewakili negara ke pertandingan terbabit. Namun, malangnya dia pergi dulu.

"Kalau Eddy ada, dia mesti gembira kerana impian saya untuk buat persembahan di luar negara bakal jadi kenyataan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Uchop, dia bertambah sedih apabila berita berkenaan diterimanya beberapa hari lalu sebelum ulang tahun kelahiran Eddy yang ke-31 dan jatuh pada hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Wan Radzie Wan Othman atau nama panggilannya Eddy Malmsteen bersama kakaknya, Allahyarham Wan Zunira meninggal dunia dalam peristiwa tragis akibat terkena renjatan elektrik berpunca daripada alat pemanas air sekitar jam 11 malam, pada 22 Ogos, tahun lalu.

Apapun, bagi Uchop inilah masanya untuk dia bangkit membuktikan kemampuan bakat seni dimilikinya kepada masyarakat  di negara ini dengan peluang beraksi di pentas antarabangsa.

"Diharapkan semua pihak mendoakan kejayaan saya di WCOPA 2021 nanti. Saya akan cuba buat yang terbaik dan InsyaAllah suatu hari nanti, mana tahu saya dapat beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 1:35 PM