Anne Abdullah.
Anne Abdullah.
Ridzuan Abdul Rahman


Shah Alam: Pelakon yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) Anne Abdullah, 51, menjadikan pengalaman terbabit dalam Skim Rumahku Syurgaku anjuran sebuah syarikat perumahan dengan harga permulaan serendah RM10 sebagai pengajaran. 

   Menurutnya, walaupun teruk berdepan kecaman warganet, dia memilih berdiam diri daripada menjawab semula yang boleh mencetuskan perbalahan berpanjangan. 

   "Saya tak nak cakap apa-apa kerana saya dibawah pengurusan Noraniza Idris sebagai ketua dan Duta syarikat ini. Bila dia kata tarik keluar semua dokumen yang diberikan, maka saya akur. 

   "Tiada isu besar pun disitu. Ikutkan saya dengar kata-kata semua pihak dan faham isu ini. Bila tahu ia benda tak betul, kami berbincang dan akhirnya buat keputusan tarik diri. 

   "Pada saya jangan pening-pening kerana program ini membabitkan 200 anak seni. Pihak terbabit nak anak seni yang ramai, jadi mereka panggillah GTAS," katanya ditemui pada program berbuka puasa GTAS bersama anak-anak asnaf serta anak-anak yatim Pusat Jagaan Siti Rohani di Urban Park @ LKSA Shah Alam baru-baru ini.  

   Terdahulu selain Anne dan Noraniza, ramai penggiat seni dikecam hebat oleh warganet kerana terjebak dengan skim perumahan yang dianggap tidak masuk akal ini. 

   Anne berkata, semasa berurusan mereka mendapati operasi syarikat terbabit seakan tidak kena dan bertindak menarik diri secepat mungkin.

   "Apapun ia menjadi pengajaran untuk saya juga sebelum terima sesuatu jemputan dari mana-mana pihak. Kena kaji teliti dulu sebelum terima pelawaan bekerjasama.

   "Namun sebagai presiden, saya sebenarnya nak buat yang terbaik untuk ahli GTAS," katanya kepada Harian Metro. 

  Bercerita berkenaan GTAS, Anne gembira kerana ahli-ahlinya terdiri daripada artis-artis senior dapat mencari rezeki dalam perniagaan termasuk pada bulan Ramadan. 

   "Mereka ini kurang peluang berlakon, jadi disinilah kita buka peluang kepada mereka untuk berniaga untuk mereka menjana pendapatan. Kami tidak 'demand' terhadap pihak yang menjemput. 

   "Untuk berniaga, keutamaan diberikan kepada artis berstatus ibu tunggal dan bapa tunggal kerana mereka cari rezeki. Kalau kita tak tolong mereka, siapa lagi nak tolong?. 

   "Dalam pada itu, setahun sekali kami akan anjurkan majlis berbuka puasa membabitkan ahli GTAS dan golongan kurang bernasib baik. Saya bersyukur mereka dapat menikmati makanan yang enak tajaan Zai Sri Gemilang," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 8:24 PM