DEDAH mereka jadi mangsa pedofilia, hanya 18 tahun ke atas layak miliki akaun media sosial.
DEDAH mereka jadi mangsa pedofilia, hanya 18 tahun ke atas layak miliki akaun media sosial.
Muhammad Saufi Hassan


KANAK-KANAK sememangnya terdedah kepada kepelbagaian ancaman khususnya membabitkan kandungan tidak sesuai di Internet termasuk media sosial.

Golongan kecil berkenaan sebenarnya sangat terdedah dengan ancaman di ruang siber khususnya media sosial termasuk kemungkinan untuk menjadi mangsa kepada jenayah pedofilia.

Bulan lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berusia bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

Dalam satu kenyataan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, SKMM mendapati kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial.

Beliau berkata, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan berkenaan memiliki akaun media sosial.

"Kepada ibu bapa, saya beri peringatan daripada SKMM, anak-anak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain," katanya.

Prosedur operasi standard (SOP) pada ketika ini yang diamalkan pengendali platform media sosial tidak memerlukan pengguna baharu untuk membuktikan umur mereka seperti kad pengenalan, passport dan sebagainya.

Ia jelas satu kelompongan yang besar apabila kanak-kanak boleh melakukan penipuan tarikh lahir dengan meletakkan tahun kelahiran sejajar dengan umur di atas 18 tahun.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga melihat bahawa umur minimum penggunaan media sosial adalah 16 tahun dengan kebenaran ibu bapa sehingga mereka berusia 18 tahun.

Dalam satu laporan, Pesuruhjaya Suhakam Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, kanak-kanak yang lebih muda amat terdedah kepada dimanipulasi, dieksploitasi dan dipengaruhi kerana mereka pada usia mencuba dan mencari sesuatu yang baru.

Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Profesor Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, platform media sosial pada hari tidak memerlukan sebarang pembuktian umur untuk pendaftaran pengguna baharu.

"Jika kita lihat daripada sudut keselamatan, perkara itu amat membimbangkan, tapisan umur boleh 'bypass' dengan begitu mudah dengan hanya memilih tahun kelahiran yang dirasakan sesuai oleh pengguna.

"Melihat juga kepada perkembangan jenayah yang semakin kompleks dengan ancaman pedofilia, saya merasakan bahawa langkah kerajaan untuk memperkenalkan satu mekanisme umur itu sangat wajar.

"Tetapi ia perlu dilakukan dengan menyeluruh seperti mengadakan kerjasama serta perbincangan bersama pengendali platform media sosial untuk tujuan pembuktian umur dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, langkah itu boleh dicapai jika semua pihak bekerjasama untuk mencapai satu objektif yang sama iaitu menyediakan satu ekosistem media sosial yang kondusif untuk semua pihak.

Biar pun begitu, media sosial tetap mempunyai kelebihannya tersendiri, ia umpama 'pedang dua mata' yang mempunyai kebaikan serta keburukannya tersendiri.

Mohd Mizan berkata, jika kanak-kanak didedahkan dengan media sosial daripada sudut positif, mereka akan menggilap kemahiran dalam pergaulan serta membina keyakinan diri.

"Media sosial ini juga akan memberikan keupayaan kepada kanak-kanak untuk memahami sesuatu konteks maklumat, pendedahan berita semasa dan menjadikan mereka generasi yang celik dengan pengetahuan serta keupayaan semak silang.

"Kita tidak boleh menyalahkan media sosial itu 100 peratus kerana masih ada sisi kebaikan jika ia digunakan untuk tujuan yang baik, tujuan positif di samping ekosistem media sosial yang kondusif.

"Ia sebenarnya memerlukan pengawasan dan pemantauan daripada ibu bapa supaya kanak-kanak ini mendapat maklumat yang sesuai dengan had umur mereka serta tidak terlampau terdedah dengan media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 7:01 AM