UCHOP menunjukkan gitar Fender Stratocaster yang dihadiahkan kepadanya.
UCHOP menunjukkan gitar Fender Stratocaster yang dihadiahkan kepadanya.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Uchop Ahmad terkejut apabila dihadiahkan gitar jenama Fender Stratocaster Reverse Headstock daripada seorang individu dikenali sebagai Cikgu.

Hadiah itu diterima Uchop sempena ulang tahun kelahiran ke-38 yang disambut pada 19 September lalu.

Uchop berkata, Cikgu yang juga peminat Allahyarham Eddy Wan Othman atau Eddy Malmsteen itu menghadiahkan gitar mirip gitar milik sahabat karibnya itu yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik pada 22 Ogos tahun lalu.

"Saya amat terharu dengan pemberian ini. Walaupun itu bukan gitar arwah, tapi bentuknya yang sama sekurang-kurangnya buat saya dapat lepaskan rindu pada Eddy.

"Pada 19 September juga, saya bersama ibu Eddy dan beberapa rakan menziarahi kuburnya dan kakaknya Wan Zunira di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak. Sedar tak sedar dah setahun mereka berdua pergi meninggalkan kita. Apapun ingatan saya terhadapnya masih tidak luntur," katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan lain, Uchop yang juga juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua pada 2012 berkata, dia masih berusaha keras mencari dana dan tajaan bagi membolehkannya mewakili Malaysia dalam pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2021 di Las Vegas, Amerika Syarikat yang ditunda tahun depan.

"Menurut keterangan dalam surat yang diberikan, saya perlu menyediakan sebanyak RM22,000 untuk membayar yuran dan perbelanjaan sepanjang 21 hari di sana.

"Walaupun kosnya tinggi, saya seboleh-bolehnya nak pergi juga kerana bukan senang untuk cari peluang ke sana. Inilah masanya untuk saya mencipta nama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 4:59 PM