THALIA berharap ada pihak sudi membantunya untuk bertanding di WCOPA 2021.
THALIA berharap ada pihak sudi membantunya untuk bertanding di WCOPA 2021.
Norhayati Nordin


SETIAP daripada kita pasti ada impian yang ingin dicapai dalam hidup. Tak kisah sama ada ia menjurus kepada karier, keluarga mahupun urusan peribadi.

Apapun, tidak semua perkara diimpikan itu mampu dicapai dengan mudah. Malah, ada antaranya memerlukan pengorbanan dari segi semangat dan bantuan kewangan.

Itu yang dihadapi penyanyi Thalia Rasul, 33, yang nekad mahu mencari dana dan penaja untuk membolehkan dia menyertai pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2021 di California, Amerika Syarikat (AS).

Wanita yang pernah menjadi protege Ziana Zain dalam program Mentor musim keempat ini berkata, pertandingan pencarian bakat di peringkat antarabangsa itu bakal berlangsung pada Julai tahun depan.

"Bagaimanapun, saya perlu berusaha dari sekarang untuk mendapatkan kos sekitar RM15,000 bagi menampung perbelanjaan sepanjang berada di AS nanti. Ini kerana, peserta yang terpilih perlu menanggung sendiri kos perbelanjaan masing-masing.

"Bagi penyertaan WCOPA 2021 kali ini, penganjur pertandingan memaklumkan lebih awal kepada peserta yang dipilih untuk mencari dana perbelanjaan sendiri ketika di sana nanti," katanya.

Mengakui sangat teruja hendak mewakili negara dalam pertandingan itu, Thalia berkata, dia perlu berusaha mencari dana atau penaja kerana kini hanya mengusahakan perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian.

"Jadi, semestinya agak sukar untuk saya mengumpulkan jumlah wang sebanyak RM15,000 yang diperlukan itu. Justeru, saya sangat berharap ada pihak membantu.

"Harapan saya, mana tahu ada pula badan korporat atau individu persendirian yang sanggup menghulurkan bantuan untuk saya merealisasikan impian mencipta nama di AS nanti. Walaupun saya sedar kos perbelanjaannya agak tinggi, namun seboleh-bolehnya saya mahu menyahut cabaran ini demi mewakili negara. Ditambah, bukan mudah saya nak dapat peluang besar ini," katanya.

THALIA enggan lepaskan peluang beraksi di WCOPA 2021.
THALIA enggan lepaskan peluang beraksi di WCOPA 2021.

Menurut Thalia, dia juga percaya sesiapa yang mendapat peluang sepertinya untuk cipta nama di pentas Hollywood, pasti sukar menolak.

Menurut penyanyi lagu Diratah Hiba ini, walau susah macam mana pun, dia mahu berusaha dulu mencari tajaan daripada pihak berminat.

"Alhamdulillah, saya terpilih untuk bersaing di WCOPA 2021 itu selepas meraih pingat emas ketika persaingan di peringkat nasional, sekali gus melayakkan saya mewakili negara ke sana.

"Bagaimanapun, saya kena bersiap sedia untuk menanggung sendiri kos perbelanjaan termasuk tiket penerbangan pergi balik berserta penginapan sepanjang di sana. Ia cabaran buat saya sekarang," katanya.

Selain Thalia yang tersenarai bersaing dalam kategori emas di pentas WCOPA 2021 itu, seorang lagi penyanyi tanah air turut terpilih ialah Pija Yasin.

Sebelum ini, Uchop Ahmad yang juga layak bertanding di pentas sama masih berusaha mengumpul dana.

Uchop yang mempunyai impian besar seperti Thalia juga enggan melepaskan peluang itu yang dianggap sangat berharga baginya.

Uchop berkata, dia akan berusaha mencari dana diperlukan itu untuk merealisasikan impian kembaranya di WCOPA 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 6:35 AM