THALIA Rasul.
THALIA Rasul.

Kuala Lumpur: Selain Uchop Ahmad, seorang lagi penyanyi dikenali Thalia Rasul, 33, nekad mahu mencari dana dan penaja untuk membolehkan dia menyertai pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2021 di California, Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, pertandingan itu bakal berlangsung pada Julai tahun depan, namun mulai sekarang dia perlu berusaha menyiapkan kos sekitar RM15,000 untuk menampung perbelanjaannya sepanjang berada di AS nanti.

"Bagi menyertai pertandingan WCOPA 2021 kali ini, peserta yang terpilih memang sudah dimaklumkan lebih awal oleh penganjur untuk menanggung sendiri kos perbelanjaan ketika di sana.

"Jujur diakui, saya sangat teruja nak mewakili negara dalam pertandingan itu, namun memandangkan saya berniaga secara kecil-kecilan atas talian semestinya agak sukar untuk mengumpulkan jumlah kewangan yang diperlukan," katanya.

Justeru, Thalia mengakui dia sangat berharap agar ada badan korporat atau individu persendirian yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya demi merealisasikan impian mencipta nama di AS.

"Walaupun saya sedar kos perbelanjaannya agak tinggi, namun saya seboleh-bolehnya ingin sahut cabaran ini untuk mewakili negara kerana bukan mudah mendapat peluang ke sana.

"Ditambah, siapa yang tak mahu cipta nama di pentas Hollywood. Jadi, walau sukar macam mana pun saya tetap nak cuba usaha cari tajaan daripada tokoh politik atau ahli perniagaan terkenal," katanya lagi.

Thalia yang pernah menjadi protege  Ziana Zain dalam Mentor musim keempat berkata dia terpilih selepas berjaya meraih pingat emas ketika persaingan di peringkat nasional, sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia ke peringkat dunia di WCOPA 2021 itu.

Bagaimanapun, katanya pihak penganjur sudah memakkumkan agar peserta bersiap sedia untuk menanggung sendiri kos perbelanjaan termasuk tiket penerbangan pergi balik dan penginapan sepanjang di sana. 

Selain Thalia yang tersenarai bersaing dalam kategori emas di pentas WCOPA 2021 itu, seorang lagi penyanyi tanah air turut terpilih ialah Pija Yasin yang juga  juara Mentor musim pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 10:55 PM