Azman Idris menderita barah prostat tahap empat.
Azman Idris menderita barah prostat tahap empat.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penderitaan penyanyi era 1980-an dikenali Azman Idris, 61, yang menghidap barah prostat tahap empat sejak 2017 dan penyakit buah pinggang kronik, mendapat perhatian penyanyi, Afee U-topia yang tampil menghulur bantuan.

   Afee berkata, dia bersama ahli Majlis Daerah Selayang sudah berkunjung ke kediaman Azman untuk melihat sendiri keadaan kesihatannya yang dikhabarkan sakit, baru-baru ini.

   "Sebaik mendapat tahu dia (Azman) sakit , saya segera melakukan lawatan ke rumahnya kerana tempat tinggal kami pun.berdekatan di Selayang.

   "Saya dapati keadaannya sekarang agak menyedihkan kerana Azman memang dah tak boleh bergerak dan nak bercakap pun susah. 

   "Menerusi bantuan daripada Dana Kita, dapatlah kami berikan sedikit sumbangan bantuan untuk meringankan bebanan keluarganya," katanya kepada Harian Metro.

   Azman yang pernah popular dengan lagu 'Zuraida' itu difahamkan pernah menjalani pembedahan kecil memasang semula tiub di pinggangnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sejak itu keadaan kesihatannya makin merosot.

   Sejak lima bulan lalu, dia hanya terbaring di katil sekali gus menyebabkan rawatan kimoterapi dan dialisis yang harus dijalaninya untuk merawat kedua-dua penyakit itu tidak dapat dilakukan.

   Sebagai alternatif, doktor memberi ubat penahan sakit serta ubat-ubatan lain di samping menjalankan pemantauan dari rumah Azman dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO), Kasih Hospice Care.

   Afee berkata, dia bersama Azlee Senario yang prihatin dengan nasib penyanyi itu termasuk penggiat seni lain akan cuba membantu rakan seangkatan mereka yang kurang bernasib baik. 

   "Kami akan bagi bantuan makanan dan apa-apa saja yang boleh membantu mereka seperti zakat, Perkeso dan apa saja keperluan utama diperlukan nanti," katanya. 

   Ketika aktif menyanyi dulu, Azman pernah menghasilkan tiga album solo iaitu Zuraida, Dilamun Rindu dan Kembali beserta album berjudul Akan Ku Bahagiakan Hidupmu bersama Kumpulan Angka (Digital).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 8:37 PM