Rashid Sibir
Rashid Sibir
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah, Rashid Sibir memohon pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya memberi kelonggaran supaya mereka yang akan menjalani penggambaran hanya perlu melalui ujian calitan (swab).

Rashid berkata, sekiranya perlu menunggu sehingga semua yang terbabit melengkapkan dua dos vaksin, itu tentunya akan mengambil masa yang lebih lama.

"Saya sarankan agar pihak KKKM dan MKN menimbang tara untuk memberi kelonggaran sehingga Oktober dan selepas itu, boleh diwajibkan untuk semua yang terbabit dalam penggambaran mendapatkan dua dos lengkap vaksin," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ramai penggiat seni termasuklah mereka yang bekerja di belakang tabir belum mendapat vaksin.

"Kalau nak tunggu dapatkan vaksin lengkap, ramailah penggiat seni termasuk pekerja belakang tabir yang tak dapat kembali bekerja sebab ramai lagi belum dapat vaksin.

"Lagipun, kita dibenarkan untuk menjalani penggambaran di zon hijau. Jadi, ujian calitan juga saya rasa sudah memadai. Bantu industri seni kreatif kita untuk kembali bergerak," katanya.

Semalam, KKKM mengeluarkan kenyataan mengenai aktiviti penggambaran di luar studio yang dibenarkan pada fasa dua Pelan Pemulihan Negara dengan beberapa syarat.

Antaranya adalah penguatkuasaan aspek kawalan risiko dengan kebenaran hanya diberikan kepada tenaga produksi yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 3:42 PM