Rashid Sibir  (dua kiri) ketika pengambaran drama Jadikan Aku Yang Kedua lakonan Amar Bahrin dan Amyra Rosli di Taman Tasik Perdana. FOTO NSTP
Rashid Sibir (dua kiri) ketika pengambaran drama Jadikan Aku Yang Kedua lakonan Amar Bahrin dan Amyra Rosli di Taman Tasik Perdana. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah, Rashid Sibir menyokong keprihatinan kerajaan apabila hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif.

Rashid ketika dihubungi bagaimanapun berharap agar SOP baru yang akan dikeluarkan itu memudahkan urusan penggiat industri kreatif seperti mana SOP yang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebelum ini.

"Saya dan penggiat seni lain sememangnya menanti-nantikan pengumuman ini selepas empat bulan 'terkurung' dan kami sangat menyokong serta berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa.

"Cumanya, saya mohon agar pihak berwajib meneliti SOP untuk industri kreatif dan kembali menggunakan SOP ketika PKP 2.0 sebelum ini. PKP yang digunakan sekarang sememangnya sangat menyulitkan proses penggambaran lebih-lebih lagi dengan adanya gelembung 10 kilometer yang ditetapkan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, gelembung itu tidak sepatutnya diwujudkan memandangkan kesemua pekerja seni yang terbabit dalam sesuatu penggambaran sudah mengambil vaksin termasuklah keluarga mereka.

"Kesemua pekerja seni yang terbabit dalam penggambaran sudah mengambil vaksin. Begitu juga dengan keluarga mereka. Setiap kali sebelum memulakan penggambaran pun, memang semua yang terbabit akan menjalani ujian calitan.

"Jadi, gelembung yang ditetapkan dalam SOP yang digunakan sekarang saya rasa tak bersesuaian dan tak perlu ada memandangkan industri kreatif adalah antara industri yang begitu meneliti mengenai keselamatan dan kesihatan setiap yang terbabit," katanya.

Tambahnya, ini masa yang sesuai untuk kita semua sebagai rakyat Malaysia mengambil vaksin memandangkan kebanyakan industri dan premis seperti pawagam akan mula dibuka untuk mereka yang sudah menerima vaksin lengkap.

"Kalau betul semua benda ini boleh dibuka dan beroperasi kerana kadar vaksinasi yang semakin banyak, ini adalah masanya untuk orang ramai mengambil vaksin. Bukan saja penggiat seni, tetapi seluruh masyarakat," katanya.

Penerbit dan pengarah, Shuhaimi Lua juga berkongsi pendapat sama mengenai SOP untuk industri kreatif dan meminta agar pihak berwajib menilai semula syarat SOP yang dirangka.

"Kami sebagai penggiat seni begitu gembira dengan pengumuman Perdana Menteri. Syukur, alhamdulillah. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua yang prihatin.

"Cuma, harapan saya adalah agar SOP yang akan dikeluarkan itu nanti biarlah tidak 'menyeksa' kami semua sebagai anak seni," katanya.

Menurutnya, dia bukanlah mencari alasan untuk mengelak daripada patuh kepada SOP, sebaliknya meminta agar ia memudahkan urusan aktiviti penggambaran.

"Bukan bermakna kita nak lari daripada SOP, sebab kami pun takut dengan virus ini. Tapi, kami minta sangat jasa daripada MKN dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) supaya meneliti dan buat betul-betul.

"Jangan seperti sekarang. Ia agak menyusahkan, tapi kami cuba juga patuh sebab ini bidang kerja kami mencari makan," katanya.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, kelonggaran ini akan memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat seni, artis serta pekerja industri dan lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 10:06 PM