SHAHRULEZAD
SHAHRULEZAD
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Syarikat produksi Radius One Sdn Bhd akur dengan keputusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk mewajibkan mereka yang terbabit dalam penggambaran perlu melengkapkan dua dos vaksin.

Pemiliknya yang juga pengarah, Shahrulezad Mohameddin berkata, pihaknya tidak akan memaksa artis atau kru untuk mengambil vaksin, tetapi hanya akan berurusan dengan mereka yang sudah mengambil vaksin saja.

"Mana-mana artis atau kru yang masih enggan divaksinasi, tak payah kalut. Saya tak paksa pun. Selagi tak ada undang-undang Malaysia yang mewajibkan semua orang mengambil suntikan vaksin, maknanya memang tak ada sesiapa boleh memaksa anda. Maka, bertenanglah. Saya tak mahu berdebat, tak mahu putus kawan.

"Cuma, setakat ini Finas, stesen TV dan Radius One cuma akan berurusan dengan mereka yang sudah mengambil suntikan vaksin saja. Kalau ikutkan saya, satu pun pun sudah memadai untuk ke lokasi penggambaran kerana nak tunggu dos kedua ada yang lambat lagi.

"Namun, Finas sudah keluarkan kenyataan semalam di mana semua penggiat seni diwajibkan untuk mendapatkan dua dos sebelum menjalani penggambaran. Jadi, kita kena bersabar dan akur," katanya.

Shahrulezad berkata, dia juga sudah mendapatkan maklum balas daripada wakil stesen TV dan mendoakan kesejahteraan mereka yang enggan mengambil vaksin kerana baginya, rezeki ada di mana-mana.

"Saya dah rujuk dengan beberapa wakil stesen TV mengenai isu syarat wajib vaksin ini. Mereka kata, mereka akan ikut saja arahan Finas. Jadi, kepada yang enggan, selamat maju jaya. Kalau rasa nak jalani penggambaran, pergi ambil vaksin. Kalau tidak, tak apa.

"Mungkin ada stesen TV terutamanya Over-The-Top (OTT) dan syarikat produksi lain yang ada kelonggaran. Lagi pun, Insya-Allah, rezeki ada di mana-mana. Jangan risau. Bumi Allah ini luas," tulisnya.

Shahrulezad dan Radius One sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan sejak Mei lalu mengenai pendirian mereka untuk berurusan dengan orang yang sudah mengambil suntikan vaksin saja.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 12:11 PM