Dr Adham Baba. FOTO BERNAMA
Dr Adham Baba. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Cadangan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 akan dibentangkan kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, beliau dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sudah diberi taklimat oleh pakar kesihatan awam negara dalam pengendalian serta faedah vaksin ketika mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKAV), dua hari lalu.

"Cadangan garis panduan kepada penerima yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 akan dibentangkan dalam Sidang Khas MKN dalam masa terdekat.

"Kita ada maklumat awal dengan merujuk beberapa negara 'best practise' dalam pengurusan Covid-19 termasuk faedah vaksin seperti yang dilakukan Amerika Syarikat (AS).

"Di AS contohnya, mereka sudah mula memberi beberapa faedah kepada penerima vaksin berikutan sudah merekodkan lebih 30 peratus penduduk negara itu yang sudah lengkap dua dos.

"Malaysia juga akan beri sedikit kelonggaran pada penerima vaksin sudah lengkap dua dos. Namun kita akan minta pakar kesihatan awam untuk beri pandangan, cadangan dan bentangkannya dalam Sidang Khas MKN untuk dijadikan rujukan sebelum keputusan mengenainya dibuat," katanya.

Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, kerajaan dijangka mengeluarkan garis panduan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 bulan depan, bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan.

Khairy dilaporkan berkata, JKJAV sedang menyediakan garis panduan itu, yang akan dibentangkan di peringkat jawatankuasa berkenaan sebelum dibawa ke MKN.

"Kita mungkin akan keluarkan garis panduan mengenai apa yang anda boleh lakukan selepas anda sudah menerima sepenuhnya dua dos vaksin.

"Bagaimanapun, buat masa ini, dengan penularan varian Delta, kita lebih berhati-hati," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 1:35 PM