UMIE ketika bertemu Pak Ngah, baru-baru ini.
UMIE ketika bertemu Pak Ngah, baru-baru ini.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penantian selama lima tahun seorang warga emas dikenali sebagai Pak Ngah, 77, untuk memiliki bekalan elektrik di rumahnya di Kampung Chubadak, di sini, bakal ditunaikan, esok.

Ia susulan hantaran dimuat naik pelakon terkenal, Datin Seri Umie Aida di Instagram minggu lalu yang berkongsi mengenai kehidupan Pak Ngah yang tinggal seorang diri dan hidup bergelap.

Menurut Umie, hantaran itu turut mendapat perhatian seorang individu wanita dikenali sebagai Leen yang berhasrat untuk membantu dan berurusan dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Minggu lalu saya ke kawasan Sentul untuk menghantar bantuan. Jadi, saya berjumpa dengan Pak Ngah dan nak hulurkan sumbangan. Tapi, dia menolak sebab katanya apa yang diperlukan adalah bekalan elektrik saja. Di rumah itu, dia duduk seorang diri dan bertemankan lilin saja selama lima tahun.

"Dia pernah ditipu dengan membayar RM2,500 kepada seseorang yang berjanji untuk dapatkan bekalan elektrik. Berkat sabar dan doa, ada hamba Allah sudi membantu iaitu Leen. Dia mesej (DM) saya di Instagram dan minta maklumat Pak Ngah.

"Alhamdulillah, semalam saya sekali lagi ke rumah Pak Ngah selepas dimaklumkan oleh Leen yang mana TNB akan datang ke rumah Pak Ngah bagi proses pemasangan bekalan elektik itu," katanya kepada Harian Metro.

Umie berkata, Leen juga bakal membuat bayaran bulanan bil elektrik Pak Ngah.

"Aturan Allah itu sangat Indah. Kehadiran TNB bagaikan mimpi buat Pak Ngah. Berkat kesabaran Pak Ngah, Allah gantikan dengan cara begini dan bil elektrik setiap bulan akan dibiayai oleh Leen. Hanya Allah yang membalas jasa baik Leen. Semoga menjadi contoh buat kita semua. Sekali lagi terima kasih Leen dan TNB.

"Apa yang boleh dikatakan juga, kadang kita memuat naik sesuatu ada orang lain yang sudi bantu selesaikan masalah itu. Jadi, kepada artis, selebriti atau sesiapa saja yang ramai 'followers', gunakan platform ini untuk bantu orang lain. Mungkin dengan cara ini, ia menjadi sebab kepada perkara yang lebih bermanfaat untuk orang lain juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 10:43 AM