TENAGA Nasional Berhad.
TENAGA Nasional Berhad.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Seramai 9.1 juta pelanggan domestik dan bukan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung akan menerima diskaun bil elektrik secara bersasar di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Pemberian diskaun antara lima hingga 40 peratus itu akan dinikmati 7.4 juta pengguna domestik, manakala diskaun sebanyak 5.0 peratus kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah yang akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan TNB.

TNB dalam kenyataan hari ini berkata, diskaun sebanyak 10 peratus kepada pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif Pemerkasa Plus pula membabitkan 11,800 pengguna.

Menurutnya, ia terdiri daripada pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

"Di bawah Pakej Pemulih, kesemua enam sektor ini akan terus menerima 10 peratus diskaun sehingga 31 Disember 2021.

"Selain diskaun di bawah Pemulih, pengguna elektrik di Semenanjung akan menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak dua sen/kWj dari Julai hingga Disember 2021.

"Untuk kedua-dua kategori pelanggan domestik dan PKS, pengiraan Diskaun Bil Elektrik Pemulih adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai 2021 hingga 30 September 2021," katanya.

TNB juga sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun ini berjalan dengan lancar.

Sehubungan itu, pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik mulai 15 Julai ini.

Bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1 Julai hingga 14 Julai 2021, diskaun untuk Julai 2021 akan dimasukkan ke dalam bil Ogos 2021.

TNB juga bekerjasama dengan kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini menerusi langkah tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sepanjang tempoh PKP 3.0 Fasa 1.

Selain itu, TNB akan menangguhkan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi enam bulan sehingga 30 September 2021, manakala Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember 2021.

Untuk soalan lazim berkaitan Diskaun Bil Elektrik Pemulih, boleh melayari www.tnb.com.my/mco/pemulih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 2:41 PM