TNB
TNB

H: Lima langkah atasi gangguan elektrik

Mahaizura Abd Malik

[email protected]

Grafik TNB

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna untuk mengamalkan lima langkah mudah dalam memastikan gangguan bekalan elektrik bukan berpunca akibat kerosakan pada pendawaian di rumah atau premis masing-masing.

Menurut TNB, langkah itu bagi memastikan pendawaian dalaman berada dalam keadaan baik sekali gus membantu untuk memulihkan bekalan dengan lebih cepat sekiranya wujud gangguan bekalan berpunca daripada kerosakan pada sistem TNB.

Katanya, masalah terpelantik berlaku apabila kedudukan suis Residual Current Circuit Breaker (RCCB) berada di posisi bawah (off) menyebabkan pengguna perlu menolak suis RCCB ke posisi atas (on).

"Jika suis RCCB masih terpelantik, pengguna perlu mengambil sedikit masa untuk menentukan puncanya, mereka perlu memulakan dengan memadamkan semua alat atau suis elektrik di rumah dan menolak suis RCCB ke posisi atas (on).

"Kemudian, hidupkan suis peralatan satu per satu dan jika suis RCCB terpelantik semula, peralatan atau suis terakhir yang anda pasang berkemungkinan sudah rosak.

"Seterusnya, pastikan peralatan atau suis tidak dipasang kembali semasa menyemak suis dan peralatan lain," katanya dalam kenyataan, di sini.

TNB turut menasihatkan pengguna mendapatkan khidmat juruteknik pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga jika RCCB masih terus terpelantik.

"Sebagai langkah keselamatan, pengguna perlu pastikan supaya tidak memegang suis dalam keadaan tangan basah dan memakai kasut atau selipar getah semasa memegang suis RCCB," katanya.

Berdasarkan semakan kes gangguan bekalan elektrik pada musim perayaan, TNB menganggarkan 60 peratus berpunca daripada masalah pendawaian dalaman (internal fault) pengguna.

"Sebelum menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau PM (mesej peribadi) Facebook TNB CareLine, pengguna digalakkan memeriksa terlebih dulu jika jiran terdekat masih mempunyai bekalan elektrik.

"Jika hanya premis anda tiada bekalan elektrik, langkah itu boleh dilakukan sendiri (DIY) untuk mengenal pasti punca dan mengatasinya," katanya.

Pengguna juga boleh melayari https://www.tnb.com.my/residential/your-safety untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai tips keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 1:46 PM