BADERUL (kanan) ketika menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penerima di Pejabat TNB Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
BADERUL (kanan) ketika menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penerima di Pejabat TNB Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


TENAGA Nasional Berhad (TNB) Johor akan memberi tumpuan terhadap lima daerah di Johor menjelang Aidilfitri berikutan jangkaan peningkatan penggunaan bekalan elektrik ketika perayaan berkenaan tahun ini.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan (Bahagian Peruncitan) TNB Johor Datuk Baderul Sham Saad berkata, daerah itu ialah Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai, Kluang dan juga Muar

"Tumpuan itu diberikan berikutan jangkaan penggunaan bekalan elektrik dijangka bertambah sekitar 50 peratus berbanding tahun sebelumnya selepas pelanggan menghabiskan masa lebih banyak di rumah kerana pelaksanaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

"Penugasan selama 24 jam akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan elektrik tidak akan terputus di seluruh negeri ini, termasuk unit rondaan yang akan memastikan tiada berlakunya kejadian yang tidak diingini berkaitan dengan bekalan.

"Seramai 600 kakitangan TNB akan diletakkan dalam keadaan bersedia untuk tujuan berkenaan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada pesara TNB, balu kakitangan TNB dan golongan memerlukan di Pejabat TNB Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir, Eksekutif Kanan Penyelenggaraan TNB Batu Pahat merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) TNB Batu Pahat, Aminuddin Abdul Rahman.

Menurut Baderul, Kedai Tenaga TNB seluruh negeri ini akan mula beroperasi pada 18 Mei hadapan bagi memudahkan pelanggan melakukan pelbagai urusan termasuk pembayaran bil yang tertangguh sebelum ini akibat Covid-19.

"Orang ramai digalakkan untuk melakukan pembayaran bil melalui dalam talian dan beberapa agen TNB seperti di stesen minyak dan juga kedai serbaneka sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

"Ketika ini, TNB Johor sedang aktif untuk melakukan persiapan bagi membuka kembali Kedai Tenaga, terutamanya yang berkaitan pematuhan semasa PKP termasuklah penjarakan sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 2:30 PM