ANTARA aksi pertarungan dalam Warrior 2. - FOTO Google
ANTARA aksi pertarungan dalam Warrior 2. - FOTO Google
Najiy Jefri


MUSIM kedua siri Warrior yang sudah menemui penonton di HBO GO dan Cinemax pada 3 Oktober lalu sememangnya sarat dengan aksi pertarungan.

Warrior 2 yang diadaptasi dari tulisan legenda seni bela diri Bruce Lee ini adalah drama berbentuk penyiasatan yang berlatar belakang Perang Tong di Chinatown, San Francisco, Amerika Syarikat pada akhir abad ke-19.

Siri kedua ini masih mengikuti kisah Ah Sahm lakonan Andrew Koji, seorang ahli seni bela diri yang berhijrah dari China ke San Francisco secara misteri.

Selepas membuktikan kemampuannya sebagai seorang yang mahir dalam pertarungan, Ah Sahm menjadi orang penting bagi Hop Wei, salah seorang anggota Tong terkuat.

"Pada musim kedua ini, saya melihat transisi dalam watak yang dibawakan sebagai pejuang sejati. Saya mula melihat Ah Sahm dapat menggunakan kemampuannya untuk suatu tujuan dan alasan yang lebih besar dalam dirinya sendiri," kata Koji dalam satu temu bual.

Pada musim terbaharu ini, Warrior akan fokus pada persaingan dua Tong iaitu Hop Wei dan Long Zii.

Mereka bertarung meraih kekuasaan di tengah meningkatnya rasisme anti-Tionghoaa yang mengancam untuk menghancurkan mereka semua.

SIRI kedua Warrior masih mengikuti kisah Ah Sahm lakonan Koji  - FOTO Google
SIRI kedua Warrior masih mengikuti kisah Ah Sahm lakonan Koji - FOTO Google

Selepas selamat pada pertarungan sengit di musim lalu, Ah Sahm kembali bersama Hop Wei dan bertekad untuk melempiaskan dendam pada pemimpin baharu Long Zii, Mai Ling (lakonan Dianne Doan) yang juga saudara perempuannya.

Sementara itu, dengan taruhan dan ketegangan terhadap saudara lelakinya yang terus meningkat, Mai Ling sendiri berjuang untuk mengendalikan rakan baharunya Zing serta kekasih yang juga Letnan Tong, Li Yong (Joe Taslim).

Dalam masa sama, musim kedua Warrior juga akan menunjukkan ancaman yang dihadapi di saat Tong berjuang untuk mendominasi sepanjang musim.

Bagi Koji, Warrior 2 membawa pelbagai kejayaan kepada dirinya selain mampu menggembirakan ibu bapanya.

"Warrior 2 mengubah kehidupan saya secara total. Saya kini dapat melihat ibu bapa saya berehat apabila tugas bekerja saya yang mengambil alih kini.

"Saya teruja apabila dapat melihat mereka hidup dengan gembira dan tenang bersama saya. Tiada apa yang lebih menggembirakan dalam hidup selain dapat membuat kedua-dua ibu bapa hidup selesa dan berehat," katanya.

Menurut Koji, dia berharap Warrior 2 akan memberi kepuasan kepada penonton, sekali gus melihat pelbagai aksi menarik.

"Setakat luka-luka kecil itu perkara biasa ketika penggambaran, tapi itu memori yang saya akan kenang sampai bila-bila," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 6:16 AM