ENAM belas peserta terpilih bagi musim baru Akademi Fantasia 2015.
ENAM belas peserta terpilih bagi musim baru Akademi Fantasia 2015.
Oleh Michelle Gun


Selepas mengumumkan barisan tenaga pengajar musim baru Akademi Fantasia 2015 (AF2015), 16 pelajar terpilih masih berdebar menanti keputusan senarai akhir program realiti popular itu.

Siapa pelajar yang bakal meneruskan perjuangan dalam program realiti itu hanya terjawab pada malam konsert penentuan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 9 Ogos ini, jam 9 malam.

Walaupun masih me­ngekalkan format asal, AF 2015 bakal memberi kejutan pada minggu pertama konsert penentuan nanti selain menyuntik elemen menarik sepanjang program berlangsung.

Musim kali ini menyaksikan peserta yang bukan saja memiliki vokal hebat serta latar belakang berbeza, tetapi ada juga mempunyai pengalaman dalam bidang nyanyian. Antara pelajar yang mencuri perhatian ramai adalah Wili yang bertugas sebagai pegawai bomba dari Tuaran, Sabah.

Kehadiran penyanyi Indie dan pencipta lagu dari Singapura, Sufi turut menambahkan lagi persaingan musim ini.

Selepas sekian lama, program musim ini diceriakan lagi dengan kehadiran peserta berbangsa Cina iaitu Rachel yang juga penyanyi sambilan dari Kuantan, Pahang.

Selain itu, anak kepada pemain bass kumpulan Wings, Bila turut mencuba nasib memburu gelaran juara AF 2015.

Bagi merancakkan program musim ini, buat kali pertama AF 2015 memperkenalkan format permarkahan yang diadili berdasarkan sistem pesanan ringkas (SMS) dan penonton boleh mengundi pelajar kegemaran menerusi laman web rasmi AF.

Program pengenalan Tirai AF 2015 bersiaran dua episod pada hari ini dan esok, jam 9 malam di saluran Astro Ria. Manakala, rutin harian pelajar di akademi dapat disaksikan dalam Diari AF 2015 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam, mulai Isnin ini.

Sementara itu, pelawak Zizan Razak dan pengacara Faizal Ismail sekali lagi diberi kepercayaan mengendalikan AF 2015. Pengacara Diari pula digalas bekas peserta AF musim pertama, Nana Mahazan.

Selain itu, penya­nyi terkenal tanah air, Joe Flizzow dan Stacy dilantik sebagai juri Juara AF 2015. Saksikan konsert mingguan AF 2015

pada setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:00 AM